Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Peraturan lebih ketat bagi pendanaan awam di bawah pindaan Akta Pertubuhan Amal

Orang ramai yang ingin memanfaatkan wadah pendanaan awam atau 'crowdfunding' perlu mematuhi peraturan baru yang ditetapkan, berikutan pindaan terhadap Akta Pertubuhan Amal yang diluluskan di Parlimen hari ini (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan lebih ketat bagi pendanaan awam di bawah pindaan Akta Pertubuhan Amal

Petikan gambar laman Give.asia.

Diterbitkan : 10 Jan 2018 12:13AM Dikemas Kini : 10 Jan 2018 02:14AM

SINGAPURA: Orang ramai yang ingin memanfaatkan wadah pendanaan awam atau 'crowdfunding' perlu mematuhi peraturan baru yang ditetapkan, berikutan pindaan terhadap Akta Pertubuhan Amal yang diluluskan di Parlimen hari ini (9 Jan).

Dalam ucapannya, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu berkata perubahan itu berlaku memandangkan sekitaran amal berubah sejak kali terakhir Akta itu dipinda pada 2010.

Oleh itu, pindaan itu bertujuan mengukuhkan tadbir urus, kebertanggungjawaban dan ketelusan badan-badan amal dan pengumpulan dana.

KETELUSAN DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN PERLU DALAM RUANG KUMPUL DANA ONLINE

Cik Fu berkata salah satu perubahan pada Akta itu termasuk meminda takrif "rayuan pengumpulan dana", bagi menjelaskan bahawa semua rayuan, tidak kira besar atau kecil dan dalam talian atau 'offline', tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.

Dengan pindaan tersebut, Cik Fu berkata, para pengumpul dana dikehendaki memberi maklumat yang jelas dan tepat kepada penderma serta mengurus dan menggunakan derma secara bertanggungjawab.

Sekiranya berlaku salah laku dalam kegiatan mengumpul dana, Cik Fu berkata, Pesuruhjaya Pertubuhan Amal akan dapat melindungi penderma dengan menghentikan atau menyekat kegiatan tersebut.

Walau bagaimanapun, Cik Fu akui kawalan terlalu ketat akan menghambat usaha mengumpul dana serta menderma.

Kawal selia yang diletakkan terhadap pengumpul dana akan menjadi "munasabah dan adil" dan mengambil kira sifat dan saiz rayuan, tambah Cik Fu.

"Kami akan menyemak semula peraturan pengumpulan dana bagi mengurangkan beban pentadbiran terhadap usaha pengumpulan dana peribadi atau berskala kecil terutamanya rayuan atas sebab tempatan dan mengecualikan mereka daripada beberapa syarat," kata Cik Fu.

Pada sisi lain, pertubuhan amal dan institusi-institusi awam yang menjalankan pengumpulan dana sebagai salah satu urusan utamanya juga akan tertakluk kepada peraturan seperti menyimpan rekod perakaunan sewajarnya.

Ini kerana mereka mempunyai tugas awam untuk memastikan kebertanggungjawaban dan pentadbiran yang baik.

Sementara itu, Cik Fu turut berkongsi bahawa kementeriannya sedang bekerjasama dengan platform-platform pendanaan awam di Singapura berkenaan Kod Tata Laku Industri.

Kod itu termasuk langkah-langkah seperti keperluan menyediakan maklumat terkini mengenai dana yang dikumpul dan menyimpan rekod sumbangan yang diterima dan diagihkan.

Para pengumpul dana juga perlu mengisytiharkan bahawa mereka tahu dan mematuhi peraturan-peraturan ketika menggunakan platform seperti itu.

Akta itu juga akan membatalkan kelayakan seseorang yang sabit kesalahan seperti pengganasan, pembiayaan keganasan atau pengubahan wang haram.

Cik Fu menegaskan bahawa keyakinan orang awam dapat mudah terjejas sekiranya sesebuah pertubuhan amal terlibat dalam kes demikian.

SEMAKAN SELANJUTNYA BOLEH DIPERBAIKI

Walau bagaimanapun, sesetengah anggota parlimen berharap semakan selanjutnya bagi Akta itu akan menjadi lebih komprehensif, berani dan berwawasan bagi mencerminkan sektor yang perlu menampung lebih banyak keperluan.

Anggota parlimen Denise Phua menyarankan agar Perancangan Perubahan Industri diadakan bagi sektor ini.

Misalnya, pertubuhan amal seharusnya tidak hanya bergantung pada sumbangan dana tetapi memperluas sumber dana.

"Semakan selanjutnya harus melihat kepada bagaimana COC boleh memberi sokongan kepada perusahaan sosial atau pertubuhan amal lain," kata Cik Phua.

Cik Fu bersetuju dengan kenyataan itu dan mengatakan bahawa Pesuruhjaya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan lain termasuk badan-badan profesional untuk mendampingi pertubuhan-pertubuhan amal dan kongsi pengetahuan dan "cara-caranya".  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan