Perang dagang memuncak sedang China sasar barangan AS bernilai AS$60 bilion
China memberi amaran bahawa ia bersedia mengenakan tarif-tarif baru terhadap barangan Amerika bernilai AS$60 bilion (S$81 bilion)
BEIJING: China memberi amaran semalam (3 Ogos) bahawa ia bersedia mengenakan tarif-tarif baru terhadap barangan Amerika Syarikat bernilai AS$60 bilion (S$81 bilion) selepas Washington memburukkan keadaan dalam perang dagang antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.
Menurut Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan, cukai baru itu akan dikuasakan sekiranya Washington melaksanakan ancaman Presiden Donald Trump untuk menaikkan tarif terhadap barangan China bernilai AS$200 bilion (S$273 bilion).
Selain itu, kenyataan tersebut menyatakan bahawa tarikh penguatkuasaan bergantung kepada “tindakan-tindakan Amerika” dan China berhak melaksanakan “langkah-langkah tindak balas yang lain”.
Menurut Kementerian Perdagangan China, tarif-tarif berkenaan adalah antara lima peratus dengan 25 peratus dan akan menjejas sebanyak 5,027 produk. Senarai produk-produk meliputi pelbagai hasil pertanian seperti daging lembu serta pesawat kecil, bahagian kimia, tekstil dan gas asli cecair.
Ancaman berkenaan menyusuli pertemuan antara Menteri Ehwal Luar China, Wang Yi dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dalam satu mesyuarat ASEAN di Singapura, semalam.
Washington dan Beijing terus bertelingkah terhadap tuduhan-tuduhan Amerika bahawa ekonomi eksport China meraih manfaat daripada dasar-dasar dan subsidi-subsidi tidak adil, termasuk mencuri ilmu dan pengetahuan teknologi Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.