Images
  • Singaporeans
    Orang ramai di Orchard Road. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Penjualan runcit naik 5.3% pada Nov, hampir semua sektor catat kenaikan

SINGAPURA: Penjualan runcit di Singapura naik 5.3 peratus pada bulan November berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Hampir semua sektor menunjukkan peningkatan, menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik (Singstat) pada Jumaat (12 Jan).

Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit meningkat 4.7 peratus berbanding November 2016. Berdasarkan bulan ke bulan yang disesuaikan mengikut musim, penjualan runcit bagi bulan November naik 5.1 peratus dan turut naik sebanyak 2.9 peratus tidak termasuk kenderaan bermotor.

Penjualan peralatan komputer dan telekomunikasi mencatat peningkatan penjualan tahun ke tahun tertinggi, naik 16.6 peratus.

Penjualan di pasar raya, stesen pam minyak, barangan riadah, kenderaan bermotor, perabot dan peralatan rumah, barangan perubatan dan bilik mandi, gedung beli-belah, peruncit makanan, pakaian dan kasut, serta jam dan barang kemas turut naik, meningkat antara 1.7 hingga 9.7 peratus.

Dua sektor yang mencatat penurunan penjualan tahun ke tahun ialah pasar raya mini dan kedai serbaneka, yang susut 1 peratus, serta barangan optikal dan buku, yang jatuh 4.2 peratus.

Jumlah nilai penjualan runcit dianggarkan S$3.8 bilion, naik dari S$3.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Penjualan khidmat makanan dan minuman naik 2.1 peratus berbanding setahun yang lalu, dengan jumlah nilai penjualan dianggarkan sebanyak S$692 juta, lebih tinggi berbanding S$678 juta pada November 2016. Namun ia susut 0.1 peratus berbanding Oktober.

Indeks Penjualan Runcit dan Indeks Khidmat Makanan dan Minuman (F&B) mengukur prestasi jangka pendek industri khidmat runcit dan F&B berdasarkan rekod penjualannya.

Perangkaan penjualan tidak termasuk cukai seperti GST dan COE. 

- CNA/IM/im

Top