Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pekerjaan tumbuh lebih pantas; pemberhentian pekerja kian berkurangan pada suku ketiga

Pasaran buruh Singapura menunjukkan tanda-tanda beransur pulih pada suku ketiga 2018, dengan jumlah pengambilan pekerja meningkat pada rentak yang lebih pantas dan pemberhentian pekerja semakin berkurangan, menurut perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Khamis (13 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Dec 2018 03:40PM Dikemas Kini : 13 Dec 2018 10:28PM

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura menunjukkan tanda-tanda beransur pulih pada suku ketiga 2018, dengan jumlah pengambilan pekerja meningkat pada rentak yang lebih pantas dan pemberhentian pekerja semakin berkurangan, menurut perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Khamis (13 Dis).

Dalam laporan suku tahunan pasaran buruh, MOM menyatakan bahawa meskipun kadar pengangguran secara keseluruhannya naik sedikit kepada 2.1 peratus pada September berbanding 2 peratus pada bulan Jun, kadar pengangguran yang disesuaikan secara musiman dalam kalangan penduduk (2.9%) dan rakyat (3%) kekal mantap dari bulan Jun hingga September.

Berdasarkan penyesuaian musiman, kadar pengangguran dalam kalangan penduduk jangka panjang jatuh kepada 0.6 peratus pada bulan September berbanding 0.7 peratus pada bulan Jun, "menggambarkan bahawa para pekerja lebih berupaya mendapatkan pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang bertambah baik sekarang", menurut MOM.

Setakat sehingga September, terdapat 66,000 penduduk dan 58,200 rakyat tempatan yang menganggur, tambah kementerian itu.

Bilangan pemberhentian pekerja juga lebih kecil, iaitu 2,860, berbanding 3,030 pada suku sebelumnya.

Ini juga lebih rendah berbanding tahun lalu di mana pemberhentian pekerja adalah sekitar 3,400.

Penyusunan semula perniagaan kekal sebagai penyebab utama di sebalik pemberhentian pekerja, menurut MOM.

"Dalam kalangan penduduk yang diberhentikan kerja, kebanyakan adalah golongan karyawan, pengurus, eksekutif & teknisyen (PMET) (70%), dan bilangan yang terjejas daripada golongan ini lebih tinggi berbanding tenaga kerja lain secara keseluruhannya," tambah MOM.

Jumlah pekerjaan, tidak termasuk pembantu rumah asing, meningkat sebanyak 16,700 pada suku ketiga, berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 6,500 pada suku sebelumnya. Ini merupakan pertumbuhan suku tahunan tertinggi sejak suku keempat tahun 2014, menurut MOM.

Sektor perkhidmatan pula adalah pemacu utama pertumbuhan pekerjaan, yang didorong oleh sektor berkemahiran tinggi seperti khidmat kekaryawanan, infokom, khidmat masyarakat, sosial dan peribadi, serta khidmat kewangan dan insurans.

MOM menyatakan bahawa pada masa hadapan, momentum pengambilan pekerja "mungkin lebih sederhana" menyusuli ketegangan perdagangan luar dan pertumbuhan yang melemah dalam pasaran permintaan produk lengkap.

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan