Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Para peniaga Melayu rebut 'durian runtuh' semasa musim perayaan Krismas

Jika lazimnya cuti Krismas digunakan oleh masyarakat Melayu untuk berehat, dan bersiar-siar, dua peniaga Melayu ini mengambil peluang cuti Krismas untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika lazimnya cuti Krismas digunakan oleh masyarakat Melayu untuk berehat, dan bersiar-siar, dua peniaga Melayu ini mengambil peluang cuti Krismas untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Apakah jenis perniagaan tersebut yang nampaknya berjaya memikat hati pelanggan Muslim dan bukan Muslim pada musim perayaan Krismas?

BERITAMediacorp bertemu dengan dua peniaga tersebut untuk mencungkil dengan lebih lanjut lagi 'niaga musim Krismas' itu.

SURYANTI SALIM JUAL BARANGAN YANG BOLEH DIKIRIM KE LUAR NEGARA

Setiap tahun sempena perayaan Krismas, hadiah akan dikirimkan kepada keluarga mertuanya yang berjauhan di Ireland.

Namun siapa sangka, hadiah buatan tangan ini berubah menjadi sebuah perniagaan dari rumah yang disambut 'hangat'.

Cik Suryanti Salim, mula menjual cenderamata seperti beg (pouch), dompet, dan kalender yang dibuat hasil jahitan tangannya sendiri, khusus bagi mereka yang menyambut perayaan Krismas sejak 10 tahun yang lalu.

Sebelum perayaan Krismas tahun ini sahaja, beliau berjaya menjualnya kepada 50 keluarga. Malah ada di antara mereka sudah membuat tempahan produknya bagi perayaan Krismas tahun depan.

"Bulan Krismas saya menjahit dan buat lebih banyak kraf tangan khas ... Ramai yang beli untuk jadikan hadiah, untuk jadikan buah tangan, untuk hantar ke negeri-negeri masing-masing. Jadi ramai yang dari Amerika, dari Eropah beli buah tangan dari saya dan hantar untuk bulan Disember ini," kongsi Cik Suryanti kepada BERITAMediacorp.

Salah seorang pelanggan beliau ialah Cik Vanessa Duchamp, yang tidak dapat pulang ke Eropah pada musim Krismas tahun ini.

"Saya beli hadiah berbentuk hati yang dijahit dengan fabrik, untuk menghias pokok Krismas, pokok Krismas saya, dan untuk hantarkan kepada keluarga saya di Eropah," kata beliau.

Menariknya lagi, sejak kebelakangan ini, produk-produk beliau yang menggunakan gabungan kain linen Ireland dan batik Indonesia seperti ini, turut mendapat sambutan sebahagian besar pembeli Melayu/Islam.

Cik Suryanti, yang berkahwin dengan seorang lelaki Ireland sejak 20 tahun lalu, menceritakan bahawa pada mulanya, para pelanggan beliau hanya terdiri daripada orang bukan Muslim sahaja.

"Tapi lepas beberapa tahun yang lepas ini, ada kawan-kawan Melayu, kawan-kawan Muslim, mereka pun rasa macam ‘eh kita beli buat buah tangan, ataupun untuk kasi kawan-kawan yang sesama bangsa," ujar beliau berhubung trend 'buah tangan' buatannya itu.

AYAM BELANDA T BOB'S CORNER LARIS; KINI MENJALAR KE PRODUK LAIN

Bagi peniaga lain seperti Cik Indah Nabielah Zulkarnain, pemilik gerai makanan T Bob's Corner, yang menjual makanan Barat dan fusion, beliau menambah jenis makanan yang dijualnya demi meluaskan lagi perniagaan semasa cuti Krismas.

Beliau mula menjual ayam belanda sahaja pada tahun lepas.

Namun sambutannya agak baik, iaitu berjaya menjual sekurang-kurangnya 10 ekor ayam belanda, mendorongnya untuk meluaskan lagi perniagaannya.

"Jadi tahun ini kita tambah lagi menunya dengan paha kambing. Dan kita pun ada, kita punya menu istimewa iaitu 'Tomahawk Steak'," kongsi beliau lagi kepada BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Cik Indah menjangkakan bahawa hasil jualannya akan meningkat sebanyak 30 peratus pada perayaan Krismas tahun ini.

Iaitu mungkin dapat menjual sehingga 15 ekor ayam belanda.

Yang pasti, beliau nampaknya sedar akan potensi perniagaan yang ditawarkan musim cuti hujung tahun itu, yang mungkin patut juga dimanfaatkan para peniaga Melayu lainnya.

"Perayaan Krismas ini memang sudah dah lama besar di Singapura, tapi kebelakangan ini sahaja F&B orang Islam baru cuba nak masuk sektor ini. Kita nampak ada banyak peluang untuk kita masuk, jadi kita cuba ambil kesempatan ini untuk kita jual barang kita," kata Cik Indah.

Pemilik restoran dua tingkat itu juga berkongsi bahawa beliau bercadang untuk meluaskan perniagaannya pada musim-musim perayaan lain tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan