Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Panduan bagi perkukuh amalan sumber manusia dalam sektor perbankan dilancar

Persatuan Bank Singapura (ABS), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) mengeluarkan panduan untuk mengukuhkan amalan sumber manusia dalam sektor perbankan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Mar 2018 06:30PM Dikemas Kini : 14 Mar 2018 10:17PM

SINGAPURA: Persatuan Bank Singapura (ABS), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) mengeluarkan panduan untuk mengukuhkan amalan sumber manusia dalam sektor perbankan.

Panduan itu adalah salah satu inisiatif di bawah agenda pekerjaan dan kemahiran Perancangan Perubahan Industri Khidmat Kewangan (ITM), yang bertujuan untuk melakar amalan-amalan yang baik bagi bank-bank untuk mengambil pekerja, meningkatkan kemahiran dan memberhentikan pekerja, serta memberi bimbingan mengenai usaha membangunkan bakat yang pelbagai, baik karyawan tempatan mahupun luar negara, dalam industri perbankan.

Semasa berucap di majlis pelancarannya hari ini (14 Mac), Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kewangan Indranee Rajah berkata, di tengah-tengah landskap automasi dan pendigitalan, "sektor kewangan sedang melalui perubahan dan dunia sektor kewangan juga perlu berubah".

Beliau turut menambah bahawa "pusat kewangan yang kukuh dan daya bersaing mesti disokong oleh tenaga kerja yang berdaya tahan dan serba boleh" dan bagi mencapai pertumbuhan yang mampan, Singapura mesti memastikan tenaga kerja sektor kewangan "sentiasa berdaya saing dan kekal relevan".

Panduan tersebut menggesa bank-bank supaya menyemak kesan perubahan teknologi terhadap tenaga kerja dan untuk bekerjasama dengan MAS, Institut Perbankan dan Kewangan serta Workforce Singapore untuk mempertingkatkan kemahiran dan mengerahkan semula para pekerja ke bidang-bidang pekerjaan baru menerusi program penukaran profesional. 

Ia juga menggalak bank-bank untuk melaksanakan amalan pengambilan pekerja yang inklusif yang menumpukan perhatian kepada kemahiran yang diperlukan untuk melakukan pekerjaan, selain menetapkan kriteria pengalaman minimum yang ketat; dan melaksanakan proses pemberhentian pekerja dengan cara yang bertanggungjawab, dan bekerjasama dengan rakan kerja perikatan tiga pihak bagi menyokong para pekerja yang terjejas.

Cik Indranee berkata pendekatan tiga pihak diperlukan kerana "huraiannya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan", termasuk pemerintah, bank-bank, kesatuan dan individu, dan "setiap pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing".

Bagi pihak pemerintah, Cik Indranee berkata MAS sudah memainkan "peranan utama dalam membangunkan agenda kerja yang kukuh dan kemahiran bagi sektor kewangan", bekerjasama dengan pelbagai pihak "untuk memperluaskan bakat, menajamkan kemahiran dan membangunkan pemimpin".

Beliau turut menambah meskipun terdapat "kemajuan yang baik", MAS akan " terus mempergiat usaha" dengan institusi kewangan dan kesatuan di bawah gerakan tiga pihak bagi memenuhi keperluan sektor.

Semua anggota ABS, yang merangkumi sekitar 160 bank, komited untuk memanfaatkan panduan tiga pihak itu.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan