Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai dipelawa beri maklum balas bagi pertingkat tadbir urus korporat

Seorang pengarah lembaga yang sudah berkhidmat selama lebih sembilan tahun akan diperiksa dengan menyeluruh jika semakan yang diusulkan terhadap Kod Tadbir Urus Korporat diluluskan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai dipelawa beri maklum balas bagi pertingkat tadbir urus korporat

(Gambar: AFP).

Diterbitkan : 16 Jan 2018 11:16AM Dikemas Kini : 16 Jan 2018 11:18AM

SINGAPURA: Seorang pengarah lembaga yang sudah berkhidmat selama lebih sembilan tahun akan diperiksa dengan menyeluruh jika semakan yang diusulkan terhadap Kod Tadbir Urus Korporat diluluskan.

Majlis Tadbir Urus Korporat hari ini (16 Feb) melancarkan sesi mengumpul maklum balas bagi saranan-saranan yang diusulkan, yang bermatlamat untuk "menyokong prestasi korporat yang berkekalan' dan meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap pasaran modal di Singapura.

Mengenai usulannya agar seorang pengarah yang sudah lama berkhidmat disemak prestasinya, majlis tersebut menjelaskan bahawa kebebasan seorang pengarah mungkin terjejas jika beliau terlalu dekat dengan pihak pengurusan syarikat. Turut disarankan agar sesebuah lembaga menerangkan mengapa seseorang pengarah dianggap 'bebas'.

Majlis tersebut menyatakan dalam kertas perundingannya bahawa kod tadbir urus korporat di seluruh dunia menekankan betapa pentingnya untuk para pengarah membuat keputusan yang objektif tanpa 'dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan'.

Majlis berkenaan turut menyarankan agar batas pegangan saham bagi menilai kebebasan seseorang pengarah diturunkan dari 10 peratus kepada 5 peratus dan menetapkannya sebagai peraturan sebelum sesebuah syarikat disenaraikan dalam Bursa Saham Singapura (SGX).

Ini akan menyelaraskan Singapura dengan peraturan yang sama di Hong Kong dan Australia.

Majlis tersebut juga menyarankan tempoh peralihan selama tiga tahun bagi membolehkan syarikat-syarikat membuat penyesuaian pada bentuk lembaganya dan mencari pengarah bebas yang baru.

Satu lagi saranan yang diusulkan ialah sepertiga lembaga syarikat terdiri daripada pengarah bebas.

KOD LEBIH RINGKAS DAN PADAT

Pengerusi majlis berkenaan Encik Chew Choon Seng berkata bahawa saranan-saranan itu turut mengambil kira persekitaran perniagaan yang kian berubah-ubah dan kerencaman pandangan pelbagai pihak yang berkepentingan.

"Kod yang diperkemas itu lebih ringkas dan padat," kata beliau di Seminar Jawatankuasa Audit Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat-Bursa Saham Singapura-Institut Pengarah Singapura (ACRA-SGX-SID) 2018.

"Ia bermatlamat untuk menggalak syarikat-syarikat beralih dari pemikiran yang terlalu menumpukan perhatian kepada proses pematuhan kepada amalan-amalan tadbir urus korporat yang menyokong objektif perniagaan jangka panjang."

Majlis tersebut ditubuhkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Februari tahun lalu untuk menyemak semula Kod, yang kali terakhir disemak pada 2012, apabila perubahan dilaksanakan bagi meningkatkan kebebasan lembaga, juga untuk memperkukuhkan amalan-amalan kewangan yang lain.

Encik Chew berkata: "Dengan perubahan yang pesat dalam dunia perniagaan dan pasaran, MAS berpendapat adalah tepat pada masanya untuk menilai semula prestasi Kod dari segi amalan dan menilai kemajuannya dalam tadbir urus korporat berbanding bidang-bidang lain."

Jika saranan-saranan tersebut dikuatkuasakan, 12 peraturan daripada Kod itu akan disertakan dalam peraturan Bursa Saham Singapura - yang mewajibkan syarikat-syarikat yang tersenarai di SGX untuk mematuhinya.

Sesi mengumpul maklum balas awam itu akan berakhir pada 15 Mac. Kertas perundingannya boleh didapati di laman MAS. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan