Images
  • noble group
    Logo syarikat Noble Group di pejabatnya yang terletak di Hong Kong. (Gambar fail: Bobby Yip/Reuters)

Noble Group rancang teruskan penyusunan semula

SINGAPURA: Pedagang komoditi Noble Group hari ini (21 Nov) menyatakan ia akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan penyusunan semula meskipun pihak berkuasa Singapura menjalankan siasatan terhadapnya. Syarikat itu disyaki melanggar syarat-syarat pengumuman penyata kewangan.

Noble menyatakan bahawa ia dan unitnya, Noble Resources International, menerima surat-surat rasmi daripada pihak berkuasa Singapura mengenai siasatan terhadap kenyataan-kenyataan yang dipercayai palsu dan mengelirukan oleh syarikat-syarikatnya.

Firma itu menambah, ia akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatannya.

Noble, yang pernah menjadi pedagang komoditi terbaik Asia, berdepan dengan masalah kewangan setelah rugi AS$6 bilion (S$8.25 bilion) pada Februari 2015 selepas perakaunannya dipersoal Iceberg Research.

Untuk menyelamatkan syarikat, Noble menurunkan skala perniagaannya dengan menjual aset-aset yang bernilai beberapa bilion dolar, mengurangkan nilai nominal aset dan memberhentikan beratus-ratus pekerjanya. 

- Reuters/AQ/aq

Top