Images
  • sg banknotes
    (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

MAS diramal naikkan sedikit nilai mata wang S’pura; ‘penyesuaian terkawal’ pada dasar kewangan negara

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan pada Jumaat (12 Okt) bahawa ia akan "menaikkan sedikit" kadar pertukuran berkesan nominal dolar Singapura (S$NEER), mengikut "penyesuaian terkawal" pada dasar kewangan negara.

Langkah itu menandakan kali kedua MAS mengetatkan dasar kewangannya pada tahun ini, selepas bank pusat itu menaikkannya dari sifar peratus bagi membolehkan nilai mata wang Singapura untuk meningkat "secara sederhana dan bertahap-tahap" dalam semakan dasarnya pada bulan April.

MAS menyatakan bahawa dua lagi instrumen dasar kewangan kekal tidak berubah.

Menyusuli pengumuman tersebut, nilai mata wang Singapura merosot berbanding dolar Amerika - diperdagangkan pada S$1.3743 berbanding sedolar Amerika pada pukul 8.33 pagi. Sebelum pengumuman tersebut, dolar Singapura berada pada paras S$1.3765 berbanding sedolar Amerika.

Langkah ketat itu diambil meskipun ramalan awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (12 Okt) menunjukkan bahawa ekonomi Singapura tumbuh lebih perlahan pada 2.6 peratus dalam suku ketiga berbanding tempoh yang sama tahun lalu, merosot berbanding 4.1 peratus yang dicatat pada tiga bulan sebelumnya.

"Ekonomi Singapura dijangka terus berkembang dengan stabil pada suku-suku mendatang, meningkatkan sedikit daya penghasilan," menurut bank pusat itu dalam kenyataan dasar terbarunya yang dikeluarkan dua kali setahun.

MAS menyatakan bahawa "penyesuaian terkawal" itu adalah "konsisten dengan kenaikan S$NEER yang sederhana dan bertahap-tahap bagi memastikan kestabilan harga jangka pertengahan".

MAS tidak menetapkan kadar faedah dan sebaliknya, menguruskan ekonomi negara menerusi mata wang dengan menyesuaikan kadar naik turun nilai dolar Singapura. 

- CNA/AI/ai

Top