Images
  • Malik (2)
    Encik Malik bersama isterinya, Shireen Ikhsan. (Gambar-gambar: Malik Hassan)

Malik Hassan - pemilik 25 kedai Nasi Lemak - terima Anugerah Semangat Keusahawanan

BERITAmediacorp: Tiga tahun lalu, beliau mengambil langkah berani memulakan rangkaian restoran Nasi Lemak sendiri.

Pada waktu itu, beliau boleh saja memilih untuk tidak bersusah payah kerana boleh terus menguruskan dua gerai nasi lemak milik bapanya - Nasi Lemak Selera Rasa di Adam Road dan Ang Mo Kio Avenue 5. Mentelah lagi Nasi Lemak Selera Rasa itu sudahpun popular dan mempunyai ramai penggemar.

Namun, semangat keusahawanan yang sudah mendarah daging dalam dirinya enggan berpeluk tubuh. Encik Malik Hassan kini rancak membangunkan empayar Nasi Lemaknya sendiri yang dipanggil CRAVE.

CRAVE kini mempunyai 25 cawangan dan menggajikan hampir 200 pekerja!

ANUGERAH PERTAMA BAGI CRAVE

Hari ini, berkat kegigihan dan sikap tidak mudah berputus asa, Encik Malik boleh berbangga dengan pencapaiannya setakat ini. Baru-baru ini, beliau menjadi antara lima usahawan Melayu/Islam yang menerima Anugerah Semangat Keusahawanan (SOE).

Anugerah tahunan itu diberikan kepada seseorang usahawan sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dan menghargai kecekalan mereka mengharungi pahit getir dunia perniagaan serta keberanian untuk berinovasi.


Bagi Encik Malik, anugerah ini amat bermakna dan begitu ‘manis’ sekali kerana ia adalah yang pertama bagi perniagaan Nasi Lemak CRAVE yang beliau usahakan sejak tiga tahun lalu.

“Gembiralah. Ia sesuatu yang saya bangunkan sendiri dari mula,” kata Encik Malik, 46 tahun.

"Bila saya mulakan CRAVE, saya tiada dapur sendiri, mula dari rumah, masak pun pinjam tempat di gerai Selera Rasa Ang Mo Kio."

10 BULAN PERTAMA PALING “TERUK”

Beliau mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa tempoh 10 bulan pertama selepas memulakan CRAVE pada tahun 2015 adalah yang paling “teruk”.

Itulah detik-detik di mana Encik Malik diuji dari segi kewangan. Beliau terpaksa menjual kereta dan pelbagai barangan lain semata-mata untuk bertahan malah rumahnya juga tidak terbayar selama tiga bulan.

“Kita keluarkan duit untuk pemasaran, pemasaran dan pemasaran. Tapi masih belum dapat lagi pulangannya. Waktu itu kita (sudah) buka di Hougang Mall dan Bedok Mall,” jelas Encik Malik, yang ketika itu hampir-hampir melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti memandu teksi supaya dapat memperoleh pendapatan.


Dalam pada itu, beliau masih lagi membuka cawangan-cawangan baru CRAVE dan pada hujung bulan ke-10, Encik Malik sudahpun membuka sebanyak tujuh cawangan dan akhirnya mendapat cek pertamanya.

“Perasaannya begitu luar biasa! Bila dapat cek pertama itu rasa macam baru dapat gaji pertama. Macam itulah rasanya,” ujar Encik Malik dengan penuh kesyukuran.

SASAR 25 CAWANGAN DALAM 5 TAHUN TAPI CAPAI 25 DALAM HANYA 3 TAHUN

Dalam wawancara BERITAmediacorp bersama Encik Malik pada tahun 2016, beliau memberitahu bahawa beliau berhasrat membuka sebanyak 25 cawangan CRAVE dalam tempoh lima tahun. Waktu itu beliau baru membuka cawangan ketiga di ION Orchard.

Diam tak diam, hari ini Encik Malik dan rakan-rakan kongsinya sudahpun memiliki sebanyak 24 cawangan CRAVE dalam tempoh hanya tiga tahun. Satu lagi cawangan baru dijangka dibuka di pusat beli-belah Changi City Point pada hujung bulan November ini.

Dahulu beliau terpaksa mengisar berkilo-kilo bawang di dapur rumah menggunakan sebuah blender biasa dan menyewa dapur di gerai Selera Rasa Ang Mo Kio untuk memasak sambal selama lebih lapan jam.

Sekarang, tauke nasi lemak itu memiliki sebuah dapur utama lengkap dengan mesin-mesin automatik. Kalau dahulu sekali masak hanya 28 kilogram sambal, sekarang sekali masak boleh mencecah 200 kilogram sambal!

Bukan itu sahaja. Menerusi CRAVE, Encik Malik juga memperkenalkan sistem kerja yang lebih teratur, teliti dan terperinci. Ini membantu mempermudahkan urusan beliau untuk mengajar dan mengendalikan kakitangannya seramai 195 orang.


Dengan kejayaan CRAVE, Encik Malik kini merancang untuk memperluaskan jenama CRAVE ke luar negara. Di Singapura pula, beliau dan rakan kongsinya menetapkan matlamat baru.

"Dalam tempoh setahun dua ini, kami merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan kami kepada 30 atau 40 cawangan di Singapura. Kami juga sedang meninjau-ninjau bukan sahaja pasaran Asia, tetapi juga Australia, New Zealand dan London,” Encik Malik memberitahu BERITAmediacorp.

“MESTI ADA RESTU IBU BAPA” & KORBAN CITA-CITA SENDIRI

Yang pasti, pencapaiannya hari ini adalah atas restu kedua ibu bapanya. Lebih-lebih lagi memandangkan ia adalah hasrat Allahyarham bapanya, Haji Hassan Haji Abdul Kadir, yang mahu beliau pastikan supaya seluruh Singapura dapat merasa nasi lemak hasil air tangan keluarganya.

“Dua minggu sebelum bapa saya meninggal dunia, beliau berkata kepada saya, ‘Malik sebelum abah meninggal dunia, kembangkanlah perniagaan Selera Rasa kepada seluruh Singapura. Biar orang tahu. Tolong janji dengan abah’. Bila dia kata macam itu tak mungkin saya nak kata tidak. Kalau saya kata tidak, dia kan tengah sakit. Jadi saya kata ‘ya',” cerita Encik Malik.


Encik Malik (kiri) bersama ibu dan adik-beradiknya. 

Meskipun beliau pada awalnya bercita-cita menjadi seorang juruterbang dan hampir-hampir diterima untuk bekerja sebagai juruterbang, demi memenuhi permintaan bapanya, Encik Malik melepaskan impiannya sendiri.

Malah setelah mendapat peluang untuk memperluas perniagaan nasi lemak ke Australia, yang memerlukan beliau berhijrah ke negara Kanggaru itu, beliau membatalkannya kerana ibu tercinta enggan berjauhan dengannya.

Namun sebulan dua selepas itu, pintu rezeki dibuka luas untuknya di mana beliau menandatangani perjanjian kerjasama dengan kumpulan syarikat Pezzo dan dapat memulakan CRAVE sehingga hari ini.

“Restulah. Apa pun yang kita buat. Nak belajar ke nak pergi luar negara ke, mesti ada restu ibu bapa. Itu yang terbaik,” ujar beliau.

Apabila ditanya sama ada beliau sendiri berharap anak-anaknya juga akan mengambil alih perniagaan nasi lemak itu, Encik Malik mendedahkan, beliau ada bertanya kepada mereka dan nampaknya ‘ada harapan’ untuk generasi-generasi akan datang turut ‘merasa’ keenakan nasi lemak CRAVE dan Selera Rasa.

“Saya tanya sama ada mereka berminat. Anak yang sulung kata dia pasti akan mengambil alih perniagaan saya. Diminta saya ajarkan semuanya dan dia akan belajar. Anak kedua dan ketiga juga menunjukkan minat untuk mengendalikan bahagian urus tadbir,” kongsi bapa empat anak dalam lingkungan usia antara 19 dengan 10 tahun. 

- BERITAmediacorp/nk

Top