Images
  • hyflux singapore
    (Gambar: Jeremy Long)

Mahkamah beri tempoh lanjutan bagi Hyflux lunas hutang

SINGAPURA: Syarikat rawatan air Hyflux diberi tempoh lanjutan selama empat bulan setengah sehingga 30 April 2019 untuk melangsaikan hutangnya.

Syarikat yang dibebani dengan masalah hutang itu pada awalnya diberi penangguhan membayar hutang selama enam bulan, sehingga 18 Dis.

Dalam perbicaraan mahkamah hari ini (26 Nov), para penasihat undang-undang Hyflux dari WongPartnership mengatakan bahawa syarikat itu akan mengambil antara satu hingga dua bulan untuk membincangkan syarat-syarat skim penyusunan dengan pelbagai kumpulan pemiutangnya.

Perbincangan itu akan membolehkan Hyflux mengumpul maklum balas mencukupi untuk menetapkan syarat-syarat skim sebelum membuat permohonan mahkamah bagi mengadakan satu mesyuarat.

Hyflux menyatakan bahawa ia akan membuat pengumuman di Bursa Saham Singapura (SGX) sebaik sahaja cadangan rasmi bagi skim penyusunan dimuktamadkan. Ia juga akan menyiapkan satu permohonan yang akan diserahkan kepada mahkamah untuk mengadakan satu mesyuarat di mana para pemiutang boleh menimbangkan skim penyusunannya.

Mahkamah membenarkan lanjutan tempoh itu setelah sebuah konsortium Indonesia, terdiri daripada Salim Group dan Medco Group (SM Investments), menawarkan S$400 juta dolar untuk membeli 60 peratus saham Hyflux, sejurus selepas syarikat itu selesai melunaskan semua hutangnya.

Konsortium itu turut memberikan pinjaman kepada Hyflux bagi membantunya membiayai proses penyusunan semula.  

- CNA/AQ/aq

Top