Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Mahathir gesa TPP disemak semula; dakwa M'sia tidak raih manfaat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menggesa agar Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) disemak semula. Menurut beliau, ekonomi-ekonomi lebih kecil seperti Malaysia tidak akan meraih manfaat daripada perjanjian yang ada sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir gesa TPP disemak semula; dakwa M'sia tidak raih manfaat

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 09 Jun 2018 04:25PM Dikemas Kini : 10 Jun 2018 01:46AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menggesa agar Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) disemak semula. Menurut beliau, ekonomi-ekonomi lebih kecil seperti Malaysia tidak akan meraih manfaat daripada perjanjian yang ada sekarang.

Dalam wawancaranya bersama media Jepun, Nikkei, yang diterbitkan hari ini (9 Jun), Dr Mahathir berkata perjanjian tersebut - yang melibatkan Jepun dan Kanada - perlu mengambil kira tahap pembangunan yang berbeza-beza di kalangan anggota kerjasama tersebut.

"Ekonomi yang kecil dan lebih lemah mesti diberi peluang untuk melindungi produk mereka," kata Dr Mahathir kepada akhbar harian Jepun itu.

"Kita perlu semak semula" perjanjian TPP.

Gesaan Dr Mahathir untuk menyemak semula TPP adalah satu tamparan hebat kepada 11 negara anggota, yang memuktamadkannya selepas mengadakan banyak rundingan pada awal tahun ini setelah Amerika Syarikat memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Menyusuli keputusan Amerika Syarikat untuk menarik diri, perjanjian berkenaan diberi nama Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP). Ia bermatlamat untuk menurunkan tarif di negara-negara anggota yang secara bersama membentuk sekitar 13 peratus daripada ekonomi global - iaitu sekitar AS$10 trillion (S$ 13.3 trilion) daripada hasil dalam negeri kasar. Dengan penyertaan Amerika Syarikat, ia mungkin membentuk sekitar 40 peratus.

Meskipun Dr Mahathir tidak menolak betapa pentingnya perjanjian seperti TPP, beliau juga tidak mahu mendedahkan sama ada beliau akan menarik diri daripada perjanjian tersebut, lapor Nikkei.

Sejak mengambil alih jawatan pada bulan lalu menyusuli kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir berjanji akan membanteras budaya rasuah dan menurunkan kos sara hidup di negara itu.

Beliau juga menyemak semula beberapa projek besar dan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan lalu. PM Malaysia ini juga sudah menarik diri daripada projek kereta api laju dengan Singapura dan sedang menyemak semula projek kereta api tempatan yang bernilai AS$14 bilion (S$18.8 bilion) yang sepatutnya dibina oleh syarikat-syarikat China.

Dalam wawancara bersama Nikkei, Dr Mahathir berkata kerajaannya "mesti menyemak semula semua perjanjian" yang dimeterai kerajaan lalu, termasuk perjanjian prasarana, perdagangan dan keselamatan.

Beliau menambah bahawa Malaysia juga akan menyemak Kod Tatalaku Laut Cina Selatan, yang sedang dirundingkan antara Beijing dengan ASEAN.

Menurut laporan NIkkei lagi, Mahathir menekankan bahawa Malaysia tidak mahu kehadiran kapal perang di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan