Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

M’sia, Qatar minat perluas kerjasama beberapa bidang

Pendidikan, pertanian, keselamatan makanan, wanita dan farmasi adalah antara beberapa bidang kerjasama yang Malaysia dan Qatar berminat untuk memperluaskan lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
M’sia, Qatar minat perluas kerjasama beberapa bidang

Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia via Malaysiakini

Diterbitkan : 06 Jun 2018 11:17AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 11:20AM

PUTRAJAYA: Pendidikan, pertanian, keselamatan makanan, wanita dan farmasi adalah antara beberapa bidang kerjasama yang Malaysia dan Qatar berminat untuk memperluaskan lagi.

Ini dibincangkan semasa kunjungan hormat Duta Besar Qatar ke Malaysia Essa Mohamed Al Mannai ke atas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya Isnin lalu ( 4 Jun).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam (5 Jun) oleh pejabat Timbalan Perdana Menteri berikutan kunjungan itu, Encik Essa Mohamed mengundang Dr Wan Azizah untuk melawat Qatar dan membincangkan bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan.

Kenyataan itu menyebut bahawa Encik Essa Mohamed memberitahu Dr Wan Azizah bahawa Qatar akan mengadakan hubungan perkapalan langsung ke China, dengan dua hab transit, di Malaysia dan Pakistan.

“Banyak boleh kita lakukan bersama, termasuk pelancongan perubatan,” Encik Essa Mohamed disebut sebagai berkata dalam kenyataan itu dan menambah bahawa sistem kejururawatan Malaysia adalah sesuatu yang boleh diikuti oleh Qatar.

Encik Essa Mohamed juga berkata makanan dan perubatan adalah bidang yang kedua-dua negara boleh bekerjasama, memandangkan Qatar mengimport 95 peratus daripada keperluannya itu.

Duta berkenaan turut memuji peralihan kuasa yang lancar semasa Pilihan Raya Umum ke-14 di Malaysia yang menyaksikan pertukaran kerajaan buat pertama kalinya dalam tempoh 61 tahun.

Beliau juga menyatakan Qatar sudah mengikrarkan AS50 juta (S$67 juta) bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sambil menyatakan bahawa hal itu boleh ditinjau seterusnya, Dr Wan Azizah berkata : “Kami didatangi kumpulan besar rakyat Rohingya. Kami perlu mengadakan program yang dirangka dengan baik untuk mendepani masalah ini”.

Encik Essa Mohamed turut menyatakan bahawa negaranya sedang membina sebuah kota raya baru dikenali sebagai Lusail, yang menyerupai Putrajaya dan menyatakan dua syarikat Malaysia terlibat dalam projek itu.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat pada kadar 21.5 peratus pada 2017.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan