Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia boleh untung dari perang dagang AS-China, kata Dr Mahathir

Malaysia berkemungkinan memperoleh manfaat daripada perang dagang di antara China dan Amerika Syarikat (AS) dari segi menarik pelaburan asing, kata Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia boleh untung dari perang dagang AS-China, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Kazuhiro Nogi/AFP)

Diterbitkan : 04 Aug 2018 04:58PM Dikemas Kini : 04 Aug 2018 05:01PM

LANGKAWI: Malaysia berkemungkinan memperoleh manfaat daripada perang dagang di antara China dan Amerika Syarikat (AS) dari segi menarik pelaburan asing, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata dasar-dasar yang dilaksanakan dalam perang dagang itu akan menyebabkan pelabur yang tidak dapat melabur di negara-negara tertentu, sekaligus menguntungkan negara-negara yang tidak terlibat.

“Kita (Malaysia) tak terlibat (dalam perang perdagangan ini) dan ada kemungkinan mereka (pelabur) yang tak dapat pergi ke negara tertentu, mereka akan datang ke sini (Malaysia),” katanya dalam satu sidang media di Langkawi pada Sabtu (4 Ogos).

Perang dagang di antara dua negara besar itu memuncak pada Rabu lalu apabila pentadbiran Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ke atas China untuk memberikan kelonggaran perdagangan dengan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China bernilai AS$200 bilion (S$273.5 bilion).

Ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi limpahan kemasukan pelaburan asing susulan peperangan perdagangan ini, Dr Mahathir berkata: “Kita bersedia sepanjang masa. (Bagi) Perdagangan asing, kita sentiasa bersedia.”

Dalam sidang yang media sama, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta penyokong-penyokong PH agar tidak mengambil mudah tentang pilihan raya (PRK) yang akan berlangsung di Selangor biarpun sudah menang selesa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Kalau dia (penyokong-penyokong PH) buat macam itu (mengambil mudah tentang PRK), ada kemungkinan Pakatan Harapan akan kalah. Sebab itu kita minta supaya pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi,” katanya.

Mengulas keputusan Barisan Nasional memberi laluan kepada PAS untuk bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor, beliau berkata ia membuktikan pakatan yang sudah berlaku di antara kedua-dua parti pembangkang itu.

“Kita memang tahu mereka bukan parti berasingan. Di depan kita diasingkan tapi sebenarnya mereka satu parti,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan