Images
  • generic stocks
    (Gambar: Reuters) 

Lelongan sukuk AS$500 juta IILM dapat sambutan

KUALA LUMPUR: International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM) menyelesaikan lelongan ketiganya bagi sukuk tiga bulan bernilai AS$500 juta (S$690 juta) dengan harga pada kadar keuntungan 2.7 peratus, atas sokongan nilai perolehan kontrak kukuh AS$1.08 bilion (S$1.5 bilion).

IILM dalam satu kenyataan hari ini (11 Okt) menyatakan, lelongan ini dijalankan menerusi pembidaan kompetitif melalui Bloomberg AUPD Platform.

Perbadanan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu menyatakan lelongan tersebut mendapat sambutan baik daripada pasaran, disokong oleh nisbah langganan 216 peratus.

“Tawaran itu menarik penyertaan besar daripada peniaga primer (PD) Islam. Sebanyak 70 peratus daripada sukuk IILM diperuntukkan kepada PD Majlis Kerjasama Teluk, diikuti Asia sebanyak 23 peratus dan yang lain-lain pada tujuh peratus.

“Pembelian oleh PD Islam dalam lelongan primer terus kukuh pada kira-kira 67 peratus setakat ini bagi 2018, dengan baki 33 peratus daripada PD konvensional,” menurut perbadanan itu.

Antara peniaga primer yang menyertainya adalah Al Baraka Turk, CIMB Islamic Bank Bhd, Kuwait Finance House, Maybank Islamic Bhd dan Standard Chartered Bank. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top