Khidmat pager terakhir Jepun ditamatkan selepas 50 tahun
Jepun akan menamatkan era penggunaan alat kelui atau pager pada tahun depan selepas lima dekad, seperti diumumkan oleh syarikat pembekal terakhir negara itu.
TOKYO: Jepun akan menamatkan era penggunaan alat kelui atau pager pada tahun depan selepas lima dekad, seperti diumumkan oleh syarikat pembekal terakhir negara itu.
Tokyo Telemessage, yang merupakan satu-satunya penyedia khidmat pager di Jepun, menyatakan bahawa pihaknya memutuskan untuk menamatkan khidmat tersebut di Tokyo dan tiga kawasan kejiranan pada September 2019. Tokyo Telemessage menyifatkan keputusan itu sebagai 'amat dikesali'.
"Pager sangat popular pada suatu ketika dulu... tetapi jumlah pengguna semakin berkurangan sehingga menurun kepada 1,500," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan. Tokyo Telemessage menambah bahawa ia sudahpun berhenti menghasilkan alat peranti itu sejak 20 tahun lalu.
Pager, yang juga dikenali sebagai 'poke-beru' di Jepun, amat popular pada tahun-tahun 1990-an terutamanya dalam kalangan pelajar perempuan yang amat gemarkan fungsi teks mesejnya yang kuno.
Pada tahun kemuncaknya pada 1996, jumlah pengguna teknologi itu mencecah lebih 10 juta orang, menurut data kerajaan.
Bagaimanapun, telefon bimbit dengan pantas mengubah teknologi pager menyebabkan jumlah penggunanya semakin merosot.
Syarikat telko utama NTT, yang memperkenalkan pager pada 1968, menghentikan khidmat teknologi itu pada 2007.
Para pelawat ke Jepun sering hairan dengan pelbagai teknologi yang terdapat di Jepun.
Misalnya meskipun Jepun merupakan sebuah negara yang penuh dengan alat teknologi tinggi dan canggih, ia juga masih lagi menggunakan teknologi lama seperti mesin faks sebagai alat komunikasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.