Images
  • SINGTEL
    Logo Singtel di luar ibu pejabatnya di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Keuntungan suku keempat Singtel jatuh 19%

SINGAPURA: Keuntungan bersih Singtel pada suku keempat jatuh 19 peratus kepada S$781 juta berbanding tempoh sama setahun lalu, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh prestasi anak syarikatnya di luar negara, Airtel dan Telkomsel, dan naik turun mata wang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Saham Singapura hari ini (17 Mei), Singtel menyatakan keputusan anak syarikatnya yang berpangkalan di India, Airtel, terkesan dengan persaingan sengit kerana pemain baru sudah memasuki pasaran di mana kempen bagi menetapkan harga kini semakin agresif. Ini diburukkan lagi dengan syarat-syarat pembatalan khidmat telefon yang semakin ketat di India.

Bagi Telkomsel, anak syarikatnya di Indonesia, pendapatannya terjejas dengan kemerosotan pada khidmat yang disediakan lebih terdahulu dan persaingan harga yang bertambah sengit, khususnya bagi pendaftaran kad SIM seperti yang diwajibkan pemerintah Indonesia.

Pendapatan operasi bagi suku keempat kekal stabil pada paras S$4.3 bilion, susut 0.4 peratus berbanding setahun lalu.

Aliran tunai bebas tumbuh 4.8 peratus pada pergerakan modal kerja dan perbelanjaan modal yang lebih rendah.

Bagi laporan penuh, laba Singtel melonjak 42 peratus kepada rekod S$5.4 bilion, dipacu hasil pendapatan daripada pelaburan semula NetLink Trust, sebuah penyedia rangkaian optik gentian yang diperkenalkan kepada orang ramai tahun lalu.

Pendapatan operasi naik 5 peratus kepada S$17.5 bilion, didorong jumlah pelanggan yang bertambah di Australia serta sumbangan daripada perniagaan digital Singtel.

Aliran tunai bebas bagi seluruh tahun meningkat 18 peratus kepada S$3.61 bilion.

Singtel menyarankan dividen terakhir bagi setiap saham sekitar 10.7 sen, yang membawa jumlah keseluruhan dividen setiap saham bagi tahun ini kepada 17.5 sen.  

- CNA/AQ/aq

Komen Anda?

Top