Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kesan harga elektrik lebih rendah pasaran terbuka terhadap penggunaan tenaga

Sedang pelbagai potongan harga ditawarkan para peruncit Pasaran Elektrik Terbuka (OEM), para pakar memberikan pandangan berbeza-beza tentang sama ada ini akan menggalakkan penggunaan tenaga lebih tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan harga elektrik lebih rendah pasaran terbuka terhadap penggunaan tenaga

Gambar hiasan. (Gambar: Thomas Vimare/Unsplash)

Diterbitkan : 10 Nov 2018 03:59PM Dikemas Kini : 10 Nov 2018 04:02PM

SINGAPURA: Sedang pelbagai potongan harga ditawarkan para peruncit Pasaran Elektrik Terbuka (OEM), para pakar memberikan pandangan berbeza-beza tentang sama ada ini akan menggalakkan penggunaan tenaga lebih tinggi.

Sebahagian daripada mereka berpendapat ia akan mengakibatkan "kesan pantulan", iaitu pengguna menggunakan lebih banyak tenaga elektrik kerana harganya yang murah. Ada pula berkata OEM akan membuat para pengguna lebih peka tentang tabiat penggunaan dan mengurangkan penggunaan tenaga.

Pada 1 April, OEM dibuka kepada penduduk kawasan Jurong. Menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sepertiga pengguna memilih untuk menukar peruncit tenaga dan meraih penjimatan sekitar 20 peratus.

Bermula 1 November, OEM diperluas ke kawasan-kawasan seperti Choa Chu Kang, Bukit Batok dan Yishun.

Sebahagian pakar berkata, harga elektrik lebih rendah mungkin menggalakkan penggunaan tenaga elektrik lebih tinggi apabila OEM ditawarkan ke seluruh negara menjelang Mei tahun depan.

HARGA LEBIH MURAH GALAK PENGGUNAAN LEBIH TINGGI

Sebagai contoh, zamil kajian di Institut Pengajian Tenaga di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Melissa Low mendedahkan kajian menunjukkan penggunaan peralatan jimat tenaga menggalak pengguna untuk menggunakan lebih tenaga elektrik.

"Kajian perlu dilakukan ke atas penduduk Jurong yang sudah menukar pelan tenaga elektrik," kata Cik Low.

LEBIH PEKA TENTANG PENGGUNAAN

Ditanya bagaimana Pemerintah akan memastikan pengurangan harga tenaga elektrik tidak akan menggalakkan penggunaan lebih tinggi, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran keluarga tentang tabiat penggunaan.

Bercakap kepada pihak media pada 30 Oktober, Encik Chan berkata: "Satu lagi perkara adalah melaksanakan meter bijak secara berperingkat."

Meter bijak itu dijangka memberi bacaan lebih tepat dan membantu keluarga-keluarga menguruskan penggunaan tenaga elektrik mereka dengan lebih baik.

"Dengan gabungan meter bijak dan OEM, ia membolehkan pengguna untuk memanfaatkan lebih banyak pilihan untuk disesuaikan dengan penggunaan masing-masing dan meraih penjimatan," tambah Encik Chan.

Ketua urus niaga tenaga ASEAN di Ernst and Young, Gilles Pascual, berkata pasaran terbuka akan membuat pengguna lebih peka, lantas penggunaan akan "berkurangan sedikit".

"Apabila pengguna diperkasa, mereka dapat mengawal bil dengan lebih baik," kata beliau. "Dengan beberapa perubahan mudah, mereka dapat meraih lebih banyak penjimatan."

TIDAK BANYAK BERUBAH

Ketua tenaga dan utiliti Asia-Pasifik di KPMG Singapura, Sharad Somani, pula tidak menjangkakan "perubahan ketara dalam pola penggunaan buat masa terdekat".

"Buat masa ini, tenaga elektrik kebanyakannya digunakan untuk peralatan rumah penting dan penggunaan alat-alat ini mungkin tidak berubah," jelas beliau.

Naib presiden kanan bagi penjualan SME dan pengguna di Senoko Energy, Stefano Boscaglia, mendedahkan tidak banyak keluarga di Jurong menukar kepada pelan elektrik Senoko baru-baru ini. 

"Mungkin terlalu awal untuk dilihat kerana Jurong merupakan sebahagian kecil pasaran dan data yang kami ada masih di peringkat awal," katanya.

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan