Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan rumah privet S'pura lonjak 52% pada Nov

Penjualan rumah privet oleh para pemaju di Singapura melonjak 52 peratus pada November berbanding setahun lalu, meskipun pemerintah menguatkuasakan langkah-langkah untuk meredakan pasaran hartanah, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (17 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Dec 2018 03:09PM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 12:01AM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet oleh para pemaju di Singapura melonjak 52 peratus pada November berbanding setahun lalu, meskipun pemerintah menguatkuasakan langkah-langkah untuk meredakan pasaran hartanah, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (17 Dis).

Para pemaju berjaya menjual sebanyak 1,198 unit pada bulan lalu, tidak termasuk kondominium eksekutif, berbanding 788 unit pada bulan yang sama setahun lalu, menurut data yang dikumpulkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Berdasarkan perangkaan dari bulan ke bulan, penjualan rumah privet meningkat lebih seganda berbanding hanya 487 unit yang dijual pada Oktober.

Termasuk kondominium eksekutif, sebanyak 1,202 unit dijual, naik dari 937 setahun lalu dan 510 pada Oktober.

Para pemaju turut melancarkan beberapa projek baru pada November, termasuk Kent Ridge Hill Residences di Buona Vista, Parc Esta di Sims Avenue dan Whistler Grand di West Coast.

Secara keseluruhannya, sebanyak 1,341 rumah dilancarkan, berbanding 450 unit pada tempoh yang sama tahun lalu dan 202 unit pada bulan sebelumnya.

Pada Julai, Singapura memperkenalkan lebih banyak langkah untuk meredakan pasaran dengan menaikkan kadar Cukai Stem Tambahan Pembeli dan mengetatkan had pinjaman untuk membeli rumah.

Sumber : CNA/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan