Images
  • huawei
    (Gambar fail: Aly Song/Reuters)

Jepun akan haram Huawei, ZTE daripada kontrak pemerolehan kerajaan

TOKYO: Kerajaan Jepun merancang untuk mengharamkan pembelian produk telekomunikasi buatan China, iaitu Huawei Technologies dan ZTE.

Langkah itu diambil bagi meningkatkan tahap pertahanannya terhadap pembocoran maklumat risikan dan serangan siber, kata sumber-sumber kepada agensi berita Reuters.

Akhbar Yomiuri, yang pertama kali melaporkan mengenai berita itu, menyatakan hari ini (7 Dis) bahawa kerajaan Jepun dijangka akan menyemak peraturan-peraturan dalamannya mengenai pemerolehan bekalan telekomunikasi seawal Isnin depan (10 Dis).

Kerajaan Jepun tidak merancang untuk hanya menyenaraikan Huawei dan ZTE dalam semakan itu, tetapi ia akan menguatkuasakan langkah-langkah untuk mengukuhkan tahap keselamatan bagi syarikat-syarikat, menurut sumber dan seorang individu yang sudah diberi taklimat mengenai perkara itu.

Langkah tersebut diambil menyusuli keputusan Amerika Syarikat pada tahun ini untuk mengharamkan pembelian perkakas Huawei oleh pemerintah negara itu.

Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat mendakwa bahawa Huawei ada kaitan dengan pemerintah China, dan perkakasnya mungkin mengandungi "pintu belakang" yang digunakan oleh ejen risikan. Ini meskipun tiada sebarang bukti yang dibentangkan secara terbuka dan syarikat itu juga menolak dakwaan-dakwaan tersebut.

Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou, ditahan di Kanada pada 1 Disember.

Meng, 46 tahun, ialah anak perempuan pengasas syarikat tersebut.

Penangkapan itu dibuat atas permintaan Washington sebagai sebahagian daripada siasatan negara itu berhubung satu skim untuk menggunakan sistem perbankan global bagi mengelak sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran, menurut sumber-sumber.

Selain itu, Australia dan New Zealand juga sudah menyekat Huawei daripada membangunkan rangkaian khidmat 5G. Syarikat BT Group di Britain pula menyatakan pada Rabu (5 Feb) bahawa ia akan menghapuskan perkakas Huawei daripada operasi-operasi mudah alih khidmat 3G dan 4G sedia ada.

Ketua jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga, enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu. Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa Jepun dan Amerika Syarikat sudah berhubungan rapat mengenai pelbagai bidang, termasuk keselamatan siber.

"Keselamatan siber semakin menjadi isu penting di Jepun," kata beliau semasa satu sidang media. "Kami mengambil langkah-langkah tegas dalam mempertimbangkannya dari pelbagai perspektif." 

- Reuters/AI/ai

Top