Images
  • sg skyline
    (Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

Inflasi teras S'pura naik kepada 1.9% pada Oktober

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura naik kepada 1.9 peratus pada bulan Oktober berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ini juga sedikit kenaikan berbanding 1.8 peratus yang dicatatkan pada bulan September.

Demikian menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan hari ini (23 Nov).

Kenaikan besar dalam kos bekalan elektrik dan gas mengimbangi inflasi makanan dan runcit yang lebih rendah, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersamanya.

Inflasi teras tidak mengambil kira perubahan harga kenderaan dan penginapan.

Inflasi kekal pada paras 0.7 peratus bulan lalu berbanding Oktober 2017 - tidak berubah berbanding September. Ini disebabkan kemerosotan dalam kos pengangkutan privet yang mengimbangi kesan kenaikan ketara kos bekalan elektrik dan gas.

Kos bekalan elektrik dan gas melonjak 16.6 peratus pada Oktober, berbanding bulan yang sama pada 2017. Kos tersebut meningkat sebanyak 3.6 peratusan mata dari kos pada September.

Kenaikan itu berpunca daripada kenaikan tarif bekalan elektrik akibat harga minyak yang terus meningkat kebelakangan ini.

Kos keseluruhan barangan runcit naik 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu pada kadar lebih perlahan - berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Pada Oktober, inflasi makanan susut kepada 1.4 dari 1.6 peratus pada bulan sebelumnya, akibat kenaikan harga bagi produk makanan yang belum dimasak dan makanan tersedia.

Dalam pada itu, inflasi perkhidmatan bagi Oktober kekal pada 1.4 peratus sejak bulan sebelumnya.

Kos pengangkutan privet jatuh 0.6 peratus, satu penurunan lebih besar berbanding penyusutan 0.1 peratus pada September.

Ini sebahagian besar disebabkan harga kereta yang menjunam, diimbangi dengan harga minyak yang meningkat dengan lebih rancak.

Kos penginapan turun 2.5 peratus pada Oktober, pada kadar penurunan sama pada September, kerana kenaikan kos penyenggaraan dan pembaikan perumahan mengimbangi kemerosotan harga sewa rumah.

MAS dan MTI menyatakan bahawa ia menjangkakan komponen bukan teras Indeks Harga Pengguna (CPI) akan meningkat pada 2019. 

- CNA/AQ/aq

Top