Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Industri kopi tawar peluang kerjaya baru, perniagaan bagi Ahmad Hidayat

Perkembangan 'coffee culture' atau budaya kopi membawa manfaat dari segi peluang kerjaya sebagai pembuat kopi atau barista terutamanya kepada golongan muda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkembangan 'coffee culture' atau budaya kopi membawa manfaat dari segi peluang kerjaya sebagai pembuat kopi atau barista terutamanya kepada golongan muda.

BERITAMediacorp menemui Encik Ahmad Hidayat, seorang barista yang menjadikan cinta beliau terhadap kopi sebuah perniagaan yang berjaya.

'Arabica', 'espresso' dan 'nitro cold brew' antara istilah-istilah yang kian mengambil tempat dalam kosa kata harian para pencinta kopi. Bagi Encik Ahmad Hidayat, minat beliau terhadap kopi sudah membuka pelbagai peluang baginya.

Setelah dilatih sebagai barista di Melbourne, Encik Ahmad yang berkecimpung dalam industri kopi selama hampir 15 tahun, membuka kafenya yang pertama di Singapura pada 2007.

Beliau kini pemilik Latorre & Dutch Coffee Asia, syarikat yang memperoleh dan mengedar kopi mentah atau 'green coffee' dari rantau-rantau seperti Amerika Latin dan Afrika.

Dalam senarai kejayaannya juga termasuk dipilih naib juara pertandingan Barista Nasional tahun lalu, yang mengiktiraf individu-individu yang mahir menyediakan kopi.

Beliau kembali bertanding tahun ini untuk menggenggam kejuaraan yang diidamkan.

"Saya ada kumpulan sendiri, kita berlatih setiap hari, lima hari seminggu untuk rasa kopinya, dan saya mengundang hakim-hakim dari Australia, dari Amerika untuk melatih kami untuk pertandingan tahun ini," kata Encik Ahmad.

Namun, industri kopi tidak terhad kepada minuman sahaja. Inovasi produk serta teknologi memproses kopi turut menawarkan pelbagai peluang kerjaya baru.

Pengurus Teknikal, Santino Coffee Specialists Pte Ltd, Encik Sharulnizam Sharrudin berkata: "Saya mahu meneroka lebih banyak lagi bidang ini sebab bidang ini sangat luas. Pelbagai bidang boleh diceburi, bertemu banyak orang dan peluang boleh didapati di luar sana."

Mereka yang berminat boleh mengikuti Pameran Cafe Asia 2018 yang menampilkan inovasi kopi dan teh, serta teknologi kafe dan bakeri. Pameran di Pusat Expo dan Konvensyen Sands itu berlangsung sehingga esok. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan