Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga minyak mentah kian meningkat, adakah anda perlu bayar lebih untuk isi petrol?

Dengan harga minyak di peringkat antarabangsa mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun ini, para pemandu di Singapura mungkin mendapati mereka harus membayar lebih untuk mengisi petrol di pam minyak.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga minyak mentah kian meningkat, adakah anda perlu bayar lebih untuk isi petrol?

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 29 May 2018 08:55AM Dikemas Kini : 30 May 2018 01:09AM

SINGAPURA: Dengan harga minyak di peringkat antarabangsa mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun ini, para pemandu di Singapura mungkin mendapati mereka harus membayar lebih untuk mengisi petrol di pam minyak.

Satu tinjauan terhadap syarikat petrol di negara ini menunjukkan bahawa harga petrol kian meningkat dan para pakar berkata bahawa minyak mentah yang lebih mahal mungkin akan meningkatkan lagi harga tersebut.

Petrol gred paling popular, oktana 95 misalnya, naik 10 sen sejak Januari lalu kepada S$2.31 seliter sebelum diskaun di Singapore Petroleum Company (SPC), Shell dan Caltex, menurut harga yang tertera di laman syarikat-syarikat tersebut.

Bagi gred premium oktana 98 pula, harganya antara S$2.61 dengan S$2.69 iaitu naik 12 sen berbanding tahun lalu.

Gred paling murah, oktana 92 pula dijual pada harga S$2.27 seliter di SPC dan Caltex iaitu masing-masing naik 10 sen dan tujuh sen, sejak awal tahun ini.

Harga minyak diesel juga naik, sekurang-kurangnya 11 sen sepanjang lima bulan ini kepada antara S$1.74 hingga S$1.76.

Namun, para pemandu mungkin boleh berasa lega kerana petrol yang dijual, meskipun lebih tinggi, tidak akan naik sebanyak harga minyak mentah di peringkat global.

Encik Gan dari OCBC menjelaskan: “Harga petrol kurang cepat berubah berbanding minyak mentah, ini bermakna kenaikan AS$1 pada harga minyak mentah tidak semestinya membawa kepada kenaikan yang sama pada harga petrol disebabkan ramalan harga dan faktor lain seperti kos penapisan dan pengagihan.”

Faktor-faktor lain juga termasuk kos sewa dan buruh, cukai serta perbezaan matawang, menurut pakar ekonomi UOB Francis Tan.

Terdapat juga ‘kesan susulan’ yang harus diambil kira, kata Encik Tan.

“Sungguhpun harga minyak naik bulan ini, ia hanya akan dapat dirasakan satu atau dua bulan kemudian. Kesan susulan ini disebabkan harga petrol di stesen minyak yang berdasarkan bekalan yang dibeli pada harga lebih rendah.”

HARGA PETROL SEIRING DENGAN KEADAAN PASARAN

Apabila dihubungi Mediacorp, syarikat-syarikat petrol menyatakan bahawa strategi menentukan harga petrol berpandu pada beberapa faktor termasuk dinamik persaingan dan ia sejajar dengan keadaan pasaran.

SPC menyatakan bahawa ia memantau pasaran dan membuat perubahan kepada harga petrol dan menawarkan promosi ‘untuk mencerminkan keadaan pasaran’.

Seorang jurucakap ExxonMobil pula berkata bahawa syarikat tersebut menawarkan pelbagai diskaun dan tawaran serta membezakan dirinya dari pesaing lain melalui program ganjaran dan tawaran-tawaran lain. “Harga minyak di rangkaian stesen minyak kami seiring dengan keadaan pasaran.”

Chevron, syarikat yang mengendalikan Caltex, menyatakan bahawa ia menawarkan produk-produk pada harga yang ‘adil, munasabah dan berdaya saing’. Ia turut menambah bahawa penyesuaian harga petrol dilakukan berdasarkan ‘penilaian dan pertimbangan bebas’ daripada faktor seperti cukai pemerintah. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan