Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga 28 jenis barang naik hingga 50% di Johor

Sebanyak 28 daripada 71 jenis barangan mengalami kenaikan harga antara empat hingga 50 peratus di Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga 28 jenis barang naik hingga 50% di Johor

Encik Aris meninjau harga ikan ketika menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 May 2018 03:19PM Dikemas Kini : 27 May 2018 11:42PM

JOHOR BAHRU: Sebanyak 28 daripada 71 jenis barangan mengalami kenaikan harga antara empat hingga 50 peratus di Johor.

Ia hasil tinjauan harga barang yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor di lapan pasar awam utama seluruh negeri.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat, berkata antara barang yang naik ialah kobis bulat dan cili hijau, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, 33 jenis barang mencatat penurunan harga antara 3.85 peratus hingga 41.67 peratus, manakala 10 jenis barang masih mengekalkan harga yang sama iaitu daging lembu tempatan, daging kerbau import, kelapa parut, santan dan telur ayam.

Menurut Encik Aris, harga ayam mentah bagi sesetengah pasar berubah-ubah mengikut harga yang diperolehi dari pembekal dengan catatan antara RM8.20 hingga RM8.80 (S$2.70 - S$3.00) sekilogram.

"Kalau ada aduan yang menyatakan ada penjual ambil keuntungan berlebihan, kita akan ambil tindakan dan beri notis kepada mereka," katanya selepas membuat tinjauan harga barangan basah di Pasar Awam Larkin.

Pihaknya juga sedang membuat pemantauan harga bagi kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Astro Awani, pada 1 Jun nanti, semua urus niaga akan dikenakan kadar sifar GST. Encik Aris menambah, tidak ada alasan lagi untuk pemborong, peniaga atau peruncit bagi mengenakan kadar enam peratus GST.

Beliau menjelaskan, pada waktu itu, harga barangan bukan turun seperti yang didakwa pengguna, tetapi disebabkan kadar sifar GST, harga barang dijangka berkurangan.

"Cuma kita risau, dia (penjual) meletakkan harga tinggi semasa masih ada GST, kita nak pastikan harga tu tiada GST sebenarnya, itu bukan turun harga, cuma dia tiada elemen GST.

"Kalau harga asal sesuatu barang RM106 (S$35), maka pada 1 Jun nanti harga jadi RM100 (S$33). Kita membantu kerajaan ke arah itu," kata Encik Aris seperti ditukil Astro Awani.

Penghapusan kadar enam peratus GST merupakan antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan