Grab perluas niaga ke pasaran Asia Tenggara; tawar pinjaman, khidmat kewangan
Beberapa bulan selepas melancarkan platform e-bayaran GrabPay, syarikat kereta sewa Singapura, Grab, menembusi ruang teknologi kewangan (fintech) pula dengan menawarkan pinjaman dan khidmat serta produk kewangan yang lain.
SINGAPURA: Beberapa bulan selepas melancarkan platform e-bayaran GrabPay, syarikat kereta sewa Singapura, Grab, menembusi ruang teknologi kewangan (fintech) pula dengan menawarkan pinjaman dan khidmat serta produk kewangan yang lain.
Semalam (13 Mac), ia mengumumkan satu usaha sama yang dinamakan Grab Financial Services Asia dengan syarikat kad kredit Jepun, Credit Saison.
Platform baru itu pada awalnya akan disasarkan kepada para pemandu dengan menawarkan khidmat pinjaman kereta dan telefon bimbit serta modal pinjaman kerja. Ia kemudian akan diperluaskan kepada para ejen dan selanjutnya kepada para pengguna.
Grab yang beroperasi di Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam merancang untuk melancarkan khidmat fintech di pasaran-pasaran Asia Tenggara pada tahun ini.
Encik Jason Thompson, pengarah urusan bagi GrabPay berkata bahawa bagi khidmat pinjaman mikro di bawah syarikat usaha sama itu, kadar faedahnya akan ditetapkan pada kadar yang berdaya saing, tetapi tidak memberikan perinciannya.
Platform baru itu juga akan menawarkan khidmat markah kredit yang boleh dimanfaatkan institusi-institusi kewangan untuk mewujudkan produk baru seperti kad kredit maya.
Ketika ditanya sama ada khidmat kewangan baru itu akan mengalihkan tumpuan perniagaan utamanya, Encik Thompson berkata bahawa khidmat bayaran Grab, misalnya, lahir daripada keperluan platform perniagaan teksinya: “Saya tidak rasa kami akan hilang (tumpuan) … Kami tetap fokus. Ini adalah lanjutan kepada perniagaan kami.”
Beliau selanjutnya menambah bahawa, syarikat tersebut sedang “giat mendampingi” lebih 60 institusi kewangan yang ada kaitan dengan platformnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.