Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dunia harus bersiap sedia jika perang dagang "terus berlarutan", kata Heng Swee Keat

Sedang perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China terus berlarutan, Menteri Kewangan Heng Swee Keat memberi amaran terdapat risiko bahawa konflik itu mungkin menjadi "lebih sulit".

Anggaran Waktu Membaca:
Dunia harus bersiap sedia jika perang dagang "terus berlarutan", kata Heng Swee Keat

Menteri Kewangan, Heng Swee Keat. (Gambar: Olivia Siong)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 06:27PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 06:31PM

BEIJING: Sedang perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China terus berlarutan, Menteri Kewangan Heng Swee Keat memberi amaran terdapat risiko bahawa konflik itu mungkin menjadi "lebih sulit".

"Kita harus bersiap sedia konflik ini akan terus berlarutan, namun pada masa yang sama, kita harus berusaha untuk meredakan konflik tersebut," kata Encik Heng pada Jumaat (19 Okt).

Encik Heng berkata demikian semasa bercakap dengan media Singapura di akhir lawatan selama tiga hari ke Beijing, di mana beliau juga mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin China seperti Timbalan Perdana Menteri Liu He, yang juga seorang pakar ekonomi, dan Gabenor bank pusat Yi Gang.

"Saya rasa rakyat China sedang mengawal diri dan saya berharap agar lebih banyak huraian membina dapat diusahakan," kata Encik Heng.

Di peringkat global pula, beliau berkata salah satu cara adalah dengan meneliti bagaimana peraturan-peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) boleh dipertingkatkan untuk mengambil kira struktur ekonomi sejagat yang kian berubah-ubah.

Di peringkat rantau, usaha untuk mengekalkan momentum perdagangan bebas juga sedang dipertingkatkan dan Encik Heng melahirkan harapan agar huraian awal dapat dicapai bagi Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau.

Perjanjian perdagangan itu melibatkan 10 negara ASEAN dan enam rakan perjanjian perdagangan bebas, termasuk China.

Pada masa yang sama, usaha juga perlu dijalankan bagi membantu para penduduk mengikuti perubahan-perubahan akibat globalisasi dan di Singapura, ini bermakna meneruskan usaha merubah industri, kata Encik Heng. 

Merujuk kepada ketegangan perdagangan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menurunkan ramalan pertumbuhan bagi ekonomi sejagat untuk tahun ini - iaitu dari 3.9 peratus kepada 3.7 peratus.

Meskipun beliau menarik perhatian bahawa ini bukanlah perkembangan yang baik, Encik Heng menekankan bahawa ia tidak sepatutnya mengganggu Singapura daripada melaksanakan tugas kritikal seperti penyusunan semula bagi jangka panjang.

Semasa lawatannya, Encik Heng turut mengunjungi beberapa syarikat China serta menarik perhatian kepada banyak bidang di mana teknologi baru dan sedia ada boleh dimanfaatkan dalam model-model perniagaan baru, yang akan meninggalkan kesan terhadap pelbagai sektor ekonomi.

Beliau menarik perhatian bahawa Singapura juga mengalu-alukan syarikat-syarikat China yang inovatif, yang akan menggunakan Singapura sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran serantau dan dunia. 

Ia juga adalah sebahagian daripada strategi untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah hab teknologi, inovasi dan perusahaan global.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan