Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dolar S'pura diramal terus kukuh pada 2018, kata penganalisis

MAS menguruskan dasarnya menerusi pertukaran mata wang dengan mengapungkan dolar Singapura berbanding mata wang rakan-rakan perdagangan utama dalam satu kelompok dasar yang tidak ditetapkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dolar S'pura diramal terus kukuh pada 2018, kata penganalisis

Gambar fail: Wang kertas dolar Singapura. (Gambar: Goh Chiew Tong)

Diterbitkan : 29 Dec 2017 12:40PM Dikemas Kini : 29 Dec 2017 12:42PM

SINGAPURA: Dolar Singapura diramal akan terus mengukuh berbanding dolar Amerika pada tahun 2018, dengan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengambil langkah mengetatkan dasarnya pada tahun depan, menurut para penganalisis.

Ini sedang ekonomi negara mencatat prestasi yang begitu baik pada tahun 2017.

Daripada menetapkan kadar faedah, MAS menguruskan dasarnya menerusi pertukaran mata wang dengan mengapungkan dolar Singapura berbanding mata wang rakan-rakan perdagangan utama dalam satu kelompok dasar yang tidak ditetapkan dan membiarkannya naik turun berdasarkan mekanisme pasaran pertukaran mata wang asing.

Pada bulan April 2016, bank pusat itu tanpa dijangka melonggarkan dasarnya dengan menambat kadar dolar Singapura pada kadar sifar peratus. Sejak itu, ia masih terus mengekalkan kedudukan tersebut.

Dalam kenyataan dasarnya pada bulan Oktober, bagaimanapun, MAS melembutkan garis panduannya itu dengan merujuk kepada komen-komen yang dibuat pada tahun sebelumnya bahawa pendirian dasar neutral sesuai bagi "tempoh yang dilanjutkan", dan bukan setakat mengulanginya saja.

Langkah itu, dengan unjuran ekonomi Singapura akan terus kekal kukuh pada tahun depan, mencetuskan spekulasi bahawa bank pusat itu mungkin cenderung untuk mengetatkan dasarnya.

Ini bermakna 2018 adalah "masa yang sesuai" bagi melaksanakan perubahan dasar, menurut Ketua Perbendaharaan Kajian dan Strategi OCBC, Selena Ling.

Meskipun ia tidak berganjak daripada kedudukan itu pada bulan April, bank pusat itu mungkin akan memperketat dasarnya apabila ia mengadakan mesyuarat kali kedua pada bulan Oktober tahun depan.

"Tempoh untuk bertindak sudah dibuka," kata Cik Ling. "Jika mereka menjangkakan inflasi akan naik dalam tempoh 18 bulan dari sekarang, mereka perlu mengubah dasarnya."

Selain pertumbuhan domestik yang memberangsangkan dan peningkatan dalam pasaran buruh yang menyumbang kepada kenaikan inflasi, MAS mungkin menunggu isyarat daripada bank-bank pusat lain yang juga sedang menimbangkan untuk menaikkan kadar faedah, menurut Ketua Ekonomi Asia di sebuah firma kajian Consortium Economics, Jeff Ng.

Bank Korea menjadi yang pertama berbuat sedemikian pada bulan lalu setelah ia menaikkan penanda aras kadar faedah buat pertama kali sejak tahun 2011.

Para pengawal selia di Korea Selatan juga bersedia untuk memantapkan kadarnya ke paras normal pada tahun 2018, menurut Ahli Strategi Kanan ANZ, Irene Cheung.

Selain Filipina, bank pusat Malaysia juga akan menaikkan kadar dan Cik Cheung menjangkakan ia akan berlaku sebaik sahaja Bank Negara Malaysia menjadualkan semakan kewangan pada bulan depan.

Singapura mungkin "mengambil jalan tengah" dengan memulakan proses mengembalikan dasar kewangan kepada normal pada bulan Oktober, tambah beliau.

"Pertumbuhan sudah bertambah baik tetapi tekanan harga belum mantap, maka itu Oktober mungkin masa yang lebih sesuai bagi MAS untuk mengukuhkannya," jelas Cik Cheung.

Memandangkan kadar pertumbuhan lebih perlahan dan demografinya sudah berubah, mereka mungkin mengekalkan peningkatan kadar pertukaran pada rentak yang lebih sederhana dan menaikkan kadar pertukaran berkesan nominal dolar Singapura (S$NEER) secara bertahap-tahap, sekitar 0.5 hingga satu peratus bagi setiap kali kadar itu dinaikkan, berbanding dua peratus sebelum ini."

Sekalipun begitu prosesnya mungkin tidak lancar bagi dolar Singapura, kata Ahli Strategi Kanan Mata Wang Bank DBS, Philip Wee.

Meskipun dolar Amerika-Singapura berkemungkinan kekal dalam lingkungan 1.33 hingga 1.45, beliau menjangkakan nilai mata wang tempatan akan susut pada tiga suku pertama 2018.

Ini sedang ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan sederhana sekitar 2.7 peratus pada 2018, berbanding unjuran 3 peratus tahun ini.

Dalam pada itu, ekonomi Amerika diramal tumbuh lebih pesat pada 2.4 peratus bagi tempoh yang sama.

Tiga kenaikan kadar faedah, pada bulan Jun, September dan Disember, oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat juga akan merangsang mata wang negara itu.

Namun dolar Singapura mungkin akan bertambah baik pada suku keempat, menurut Encik Wee, sedang pemulihan ekonomi global mendapat perhatian dan lebih meluas.

"Walaupun Singapura tidak mempunya dasar kadar faedah, ia mungkin akan menaikkan dasar mata wangnya dari pendirian yang neutral kepada pendirian yang akan menaikkan sedikit kadar tersebut pada bulan Oktober," menurut beliau dalam satu laporan.

"Kami meramalkan SGD akan merosot sekitar 1.40 berbanding dolar AS pada suku ketiga 2018 tetapi SGD dijangka naik lagi pada suku keempat 2018 dan masuk ke tahun 2019."

Cik Cheung dari ANZ pula meletakkan sasaran 2018 bagi dolar Singapura pada 1.325 berbanding dolar Amerika, manakala Cik Ling dari OCBC meramalkan perdagangan mata wang tempatan "sekadar bawah 1.33" berbanding dolar Amerika menjelang hujung tahun depan.

Tahun ini, dolar Singapura adalah antara mata wang Asia Tenggara yang paling kukuh, menjangkaui ramalan yang ditetapkan pada awal tahun,dengan mencatat peningkatan sekitar 7.5 peratus berbanding dolar Amerika.

Sebahagian besar daripadanya disebabkan kelemahan dolar Amerika, yang manfaatnya turut diraih mata wang Asia yang lain.

Dolar Singapura diperdagangkan pada kadar 1.3381 berbanding sedolar Amerika semalam (28 Dis).

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan