Images
  • CBD
    CBD. (Gambar: TODAY)

Chee Hong Tat utarakan 3 strategi kembangkan ekonomi S'pura

SINGAPURA: Kepimpinan 4G akan mengembangkan ekonomi negara dengan bersikap properniagaan, probakat dan pro-Singapura, kata Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat di Parlimen hari ini (17 Mei).

Dalam responsnya kepada Ucapan Presiden, beliau berkata bahawa ekonomi Singapura mesti berkembang supaya penduduknya boleh mendapatkan pekerjaan yang baik dan peluang untuk mengubah dunia.

"Kami mesti berkembang agar kami mempunyai sumber untuk membangunkan negara kami, untuk menjaga satu sama lain dan untuk melindungi diri sendiri. Kami harus berkembang demi anak-anak kami, untuk memberi mereka masa depan yang lebih baik," kata beliau.

Mengulas lelih lanjut tentang sikap properniagaan, Encik Chee berkata bahawa Pemerintah akan proaktif dalam mendapatkan maklum balas dari syarikat-syarikat, mengurangkan 'pita merah' dan menyediakan ruang percubaan yang selamat.

Kepimpinan 4G akan proaktif dalam mendapatkan maklum balas dari syarikat-syarikat untuk "menjadikan ia sebagai sebahagian daripada DNA kami dan naluri kami untuk menyokong perusahaan," untuk terus memperbaiki peraturan dan rangka kerja perlesenan serta mempercepatkan proses-proses dan memudahkan idea perniagaan baru.

MENGURANGKAN HAMBATAN DALAM SEKTOR MAKANAN

"Kami akan mengurangkan pita merah dan memudahkan rejim perlesenan untuk mengurangkan kos penyetujuan bagi syarikat-syarikat," tambah beliau. Encik Chee berkata bahawa satu kajian mendalam sedang dilakukan ke atas kriteria kawal atur sektor makanan.

"Buat masa ini, syarikat-syarikat perlu melepasi sehingga 14 laluan melibatkan pelbagai agensi pemerintah, sebelum dibolehkan membuka kedai makanan. Kami bertanya kepada diri kami sendiri, adakah wajar untuk melepasi sehingga 14 laluan? Ini Singapura, kami boleh membuat yang lebih baik lagi," kata beliau.

Panel Pro-Keusahawanan(PEP) sedang bekerjasama dengan Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital serta GovTech untuk semakan itu, kata Encik Chee. Beliau menambah bahawa "matlamat tinggi" sudah ditetapkan untuk mengurangkan keperluan bagi mengisi 14 borang itu menjadi hanya satu dan juga untuk mengurangkan masa yang diambil serta yuran lesen yang dikenakan demi memulakan perniagaan makanan.

PERATURAN PROPERNIAGAAN BOLEH BAWA KESAN BERPANJANGAN KE ATAS BUDAYA SOSIAL

Dengan bersikap properniagaan, ia bukan sahaja membawa kesan kepada ekonomi tetapi juga kepada norma sosial dan masyarakat, kata Encik Chee.

"Ia berkaitan hal menyokong langkah mengambil risiko dan mengharungi rasa takut untuk gagal. Dalam proses mencuba sesuatu yang baru, kami belajar untuk menjadi lebih berdaya bingkas dan lebih pintar akal," kata beliau.

"Perubahan sedemikian boleh mendatangkan "kesan yang ketara dan berkekalan kepada budaya sosial dan jenis masyarakat yang kami mahukan di Singapura", kata beliau lagi.

YAKIN KEPADA SYARIKAT DAN BAKAT SINGAPURA UNTUK KEMBANGKAN EKONOMI

Encik Chee juga menekankan tentang pentingnya menaruh keyakinan kepada rakyat Singapura dan syarikat tempatan.

"Pemerintah akan memberi pertimbangan adil kepada syarikat Singapura apabila kami mencari produk-produk dan perkhidmatan untuk mendapatkan idea kreatif dan inovatif, untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat itu dan memperkasakannya untuk bersaing di luar negara," kata beliau.

Namun, untuk menjadi propekerja Singapura tidaklah setakat melindungi mereka dan ia "sudah tentu tidak bermakna mendirikan benteng dan menutup pintu kepada pendatang dan bakat global," kata Encik Chee.

Bagi memaksimumkan potensi penduduk kami, ekonomi Singapura mesti berupaya untuk menghasilkan pekerjaan baik dan memberi akses kepada peluang yang terbaik, rangkaian yang terbaik dan idea yang terbaik untuk rakyat kami.  

- CNA/SM/fa

Komen Anda?

Top