Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bilangan agensi hartanah berlesen merosot dek gabungan dalam industri

Dengan gambaran pasaran hartanah yang lebih memberangsangkan, data yang dikeluarkan semalam (4 Jan) menunjukkan bahawa terdapat lebih banyak ejen berdaftar di Singapura berbanding setahun lalu, meskipun gabungan dalam industri menyaksikan bilangan agensi yang berlesen berkurangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bilangan agensi hartanah berlesen merosot dek gabungan dalam industri

(Gambar fail: TODAY).

Diterbitkan : 05 Jan 2018 08:36AM Dikemas Kini : 06 Jan 2018 12:12AM

SINGAPURA: Dengan gambaran pasaran hartanah yang lebih memberangsangkan, data yang dikeluarkan semalam (4 Jan) menunjukkan bahawa terdapat lebih banyak ejen berdaftar di Singapura berbanding setahun lalu, meskipun gabungan dalam industri menyaksikan bilangan agensi yang berlesen berkurangan.

Setakat 1 Januari, terdapat 28,571 ejen hartanah berdaftar di sini, naik daripada 28,397 ejen bagi tempoh yang sama tahun lalu. Demikian menurut data yang dikeluarkan Majlis Agensi Hartanah (CEA).

Bilangan agensi hartanah berlesen setakat 1 Januari pula ialah 1,269, turun daripada 1,286 tahun lalu.

CEA menambah bahawa ia meluluskan 66 lesen agensi hartanah baru dan 1,344 pendaftaran ejen hartanah baru tahun lepas. Kesemuanya 44 lesen hartanah dan 2,028 pendaftaran ejen hartanah tamat tempoh selepas 31 Disember 2017.

Cik Chia I-Ling, Pengarah Dasar & Pelesenan di CEA, berkata bahawa bertambahnya bilangan ejen yang berdaftar mungkin disebabkan gambaran positif terhadap pasaran hartanah.

"Seperti sektor ekonomi lain, industri agensi hartanah juga sedang mengalami peralihan dalam menghadapi inovasi teknologi serta kemunculan lebih banyak perusahaan dan model penyampaian perkhidmatan. Sepanjang setahun lalu berlaku juga gabungan dalam kalangan agensi-agensi hartanah."

Cik Chia menambah, sejajar dengan perubahan industri, CEA menggalak ejen-ejen hartanah untuk meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan teknologi agar dapat berdaya saing dalam "sekitaran perniagaan yang berubah dan memenuhi jangkaan para pelanggan".

Dalam satu kenyataan melalui emel, Encik Lim Yong Hock, Pegawai Eksekutif Utama PropNex Realty, berkata bahawa syarikat itu sudah melabur lebih daripada S$10 juta sepanjang lima tahun lalu bagi menyediakan latihan dan program-program pembangunan untuk kakitangannya. Ini bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan mutu perkhidmatan, tambah beliau.

Pada Jun tahun lepas, syarikat PropNex dan Dennis Wee Group bergabung menjadi agensi hartanah terbesar di Singapura dengan sekitar 6,700 kakitangan.

"Kami sememangnya menyaksikan perubahan dalam industri hartanah di mana syarikat kecil dan sederhana mungkin memilih untuk tidak meneruskan operasi mereka sendiri dan sebaliknya bergabung dengan syarikat-syarikat lebih besar."

Syarikat OrangTee dan Edmund Tie & Comany juga mengumumkan tentang gabungannya pada Ogos lalu untuk menjadi OrangeTee & Tie (JV).

Menurut dua syarikat itu, gabungan mereka akan menyatukan lebih 4,000 tenaga kerja, menjadikannya agensi bersekutu ketiga yang terbesar di Singapura.

Encik Eugene Lim, Pegawai Eksekutif Utama dari ERA Realty Network juga berkata bahawa agensi tersebut banyak melabur dalam teknologi infokom bagi meningkatkan daya penghasilan dalam kalangan ejen-ejennya. Ia menjangkakan jumlah ejen akan terus berkembang pada 2018 iaitu dari 5,882 kepada 6,000 ejen.

"Dua pertiga tenaga kami merupakan mereka di bawah 45 tahun. Lebih 60 peratus mempunyai ijazah dan diploma. Ejen-ejen baru kami juga lebih muda dan berpendidikan, dan lebih daripada satu pertiga merupakan pemegang ijazah."

Encik Lim menambah bahawa hasil pendapatan agensi itu bagi sembilan bulan pertama 2017 naik 30.3 peratus dalam tempoh yang sama setahun lalu. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan