Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: Sokongan S$1.4 bilion untuk bantu syarikat atasi keprihatinan masa terdekat

Syarikat-syarikat perusahaan akan menerima pelbagai sokongan tersasar daripada Pemerintah untuk membantu mereka mengharungi kelemahan-kelemahan sekarang dalam ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2017 04:11PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 10:55PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat perusahaan akan menerima pelbagai sokongan tersasar daripada Pemerintah untuk membantu mereka mengharungi kelemahan-kelemahan sekarang dalam ekonomi.

Menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (20 Feb), Belanjawan 2017 perlu menjangkaui rangsangan kepada umum dan menyasarkan isu-isu industri yang tertentu, memandangkan prestasi yang tidak menentu di pelbagai sektor berlainan.

Sepanjang 2016, sektor pengilangan Singapura menyaksikan kebangkitan pada akhir tahun di sebalik pertumbuhan kukuh dalam kelompok elektronik dan kelompok bioperubatan, yang menyebabkan ekonomi tumbuh pada kadar lebih pantas daripada jangkaan iaitu 2 peratus.

Namun, tidak semua pengilang menyaksikan prestasi mereka bangkit dan sektor perkhidmatan, yang membentuk dua pertiga ekonomi, terus menunjukkan prestasi yang lemah.

Oleh itu, Encik Heng berkata bahawa bagi firma-firma dan sektor-sektor yang masih bertahan, fokusnya adalah kepada jangka lebih panjang dan bagaimana untuk merebut peluang-peluang baru.

Namun bagi sektor-sektor yang terus menghadapi kelemahan kitaran, seperti binaan, serta sektor-sektor marin dan proses, langkah-langkah sokongan yang tertentu akan disediakan.

Langkah-langkah tersasar itu termasuk penangguhan lebih lanjut bagi kenaikan levi pekerja asing dalam sektor marin dan proses, yang diumumkan sebelum ini, kepada setahun lagi.

Bagi sektor binaan, Pemerintah akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur sektor awam S$700 juta, yang akan bermula pada Tahun Kewangan (FY) 2017 dan FY2018. Firma-firma binaan akan dapat membida dan menyertai projek-projek ini, yang termasuk mempertingkatkan kelab-kelab masyarakat dan kemudahan sukan, kata Encik Heng di Parlimen.

Namun, untuk mengekalkan momentum peningkatan-peningkatan pada daya penghasilan, Pemerintah akan meneruskan langkah kenaikan levi pekerja asing untuk sektor binaan seperti yang diumumkan pada 2015.

BANTU FIRMA-FIRMA URUSKAN PERALIHAN

Sementara itu, untuk membantu firma-firma menguruskan kos atau aliran tunai sedang ekonomi menyusun semula dan bersiap sedia untuk masa hadapan, rebat cukai pendapatan korporat (CIT) akan dipertingkatkan dengan hadnya dinaikkan dari S$20,000 kepada S$25,000 bagi Tahun Penilaian (YA) 2017.

Rebatnya kekal pada kadar 50 peratus cukai yang harus dibayar, selepas dinaikkan dari 30 peratus pada Belanjawan tahun lalu.

Rebat CIT akan juga dilanjutkan setahun lagi kepada YA2018 pada kadar yang dikurangkan iaitu 20 peratus cukai yang harus dibayar, dengan had S$10,000. Peningkatan dan lanjutan itu akan membawa kos tambahan S$310 juta bagi Pemerintah pada YA2017 dan YA2018.

Sejajar dengan kenaikan usia pengambilan pekerja dari 65 kepada 67 tahun yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2017, Pemerintah akan juga memberikan lebih banyak sokongan kepada firma-firma yang menggajikan pekerja lebih tua.

Contohnya, Kredit Pengambilan Kerja Khas Tambahan akan dilanjutkan hingga akhir 2019.

Di bawah skim itu, para majikan akan menerima pengimbangan gaji sehingga 3 peratus bagi pekerja yang meraih gaji bawah S$4,000 sebulan dan tidak tergolong di bawah usia baru pengambilan semula pekerja 67 tahun.

Ini akan memanfaatkan sekitar 120,000 pekerja dan 55,000 majikan, dan akan menelan belanja sekitar S$160 juta.

Bersama dengan Kredit Pekerjaan Khas (SEC), yang diubah dan dilanjutkan kepada akhir 2019 pada Belanjawan tahun lalu, para majikan akan menerima sokongan sehingga 11 peratus bagi gaji pekerja-pekerja lebih tua mereka yang layak bagi skim itu.

Firma-firma juga boleh memanfaatkan skim-skim yang sebelum ini diumumkan bagi sokongan berterusan.

Menteri Kewangan berkata Pemerintah menjangkakan untuk memberikan lebih S$600 juta kepada perniagaan-perniagaan pada Mac ini di bawah Skim Kredit Gaji - skim yang bertujuan membantu firma-firma menangani kos gaji yang meningkat. Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dijangka membentuk 70 peratus daripada jumlah ini.

Di bawah SEC, lebih S$300 juta akan diberikan pada FY2017 dan 370,000 pekerja akan meraih manfaat daripada skim itu.

Akhir sekali, Pinjaman Modal Kerja SME, yang diumumkan tahun lalu untuk membantu perniagaan-perniagaan mengharungi keprihatinan masa terdekat sementara menggalak pertumbuhan perniagaan dan aktiviti penyusunan semula, akan terus disediakan untuk dua tahun mendatang.

Encik Heng menarik perhatian bahawa skim itu mendapat sambutan yang baik dan pinjaman lebih S$700 juta sudah diberikan sejak pelancarannya Jun tahun lalu.

Kesemuanya, langkah-langkah tambahan masa terdekat ini akan memberikan perniagaan-perniagaan sokongan lebih S$1.4 bilion sepanjang tahun depan.

SOKONGAN BAGI PEKERJA DAN ANJAKAN STRUKTUR EKONOMI

Belanjawan 2017 juga menyediakan langkah-langkah untuk membantu pekerja menyesuaikan diri dengan anjakan-anjakan struktur dalam ekonomi, terutama mereka yang ingin berpindah ke sektor atau industri berlainan.

Pertama sekali, inisiatif "Suai Maju" akan diperkukuhkan tahun ini, menerusi peningkatan pada sokongan gaji dan latihan di bawah Program Sokongan Kerjaya, Program Penukaran Profesional dan Program Percubaan Pekerjaan.

Dilancarkan tahun lalu oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), inisiatif Suai Maju bertujuan membantu rakyat Singapura menyesuaikan diri dengan permintaan pekerjaan yang berubah-ubah dan meningkatkan kemahiran mereka.

Inisiatif "Bekerja sambil Berlatih" akan juga diperkenalkan untuk sektor-sektor yang mempunyai prospek pertumbuhan yang baik, tetapi belum bersedia mengambil pekerja.

Sebaliknya, rakan-rakan industri boleh menghantar para peserta untuk menjalani latihan dan program bekerja sambil belajar, yang akan membantu meningkatkan prospek diambil bekerja bagi para pekerja itu.

Untuk menyokong insiatif-insiatif tersebut, jumlah tambahan sehingga S$26 juta setahun akan diperuntukkan dari Dana Endowmen Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Dana Pembangunan Kemahiran, kata Encik Heng. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan