Images
  • 1MDB
    (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP) 

Bekas pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, mengaku bersalah terbabit skandal 1MDB

NEW YORK: Seorang bekas pegawai di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), mengaku bersalah atas tuduhan melanggar peraturan perbankan dalam percubaan untuk mengelakkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) meneruskan tindakan terhadap skandal dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

George Higginbotham, 46 tahun, mengaku berbohong kepada beberapa bank di AS ketika membuat transaksi berjumlah jutaan dolar untuk membiayai kempen bagi pihak Low Taek Jho atau Jho Low yang juga dalang utama kes 1MDB.

Para pendakwa persekutuan pada Ogos lalu mengenakan lapan tuduhan pengubahan wang haram terhadap Jho Low. Beliau dituduh membantu penyelewengan sebanyak AS$4.5 bilion (S$6.2 bilion) dari dana pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika, Higginbotham mengaku menipu pihak bank, termasuk mengeluarkan dokumen pinjaman dan rundingan palsu bagi menyembunyikan sumber sebenar dana.

Sementara itu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam satu pengumuman berasingan semalam (30 Nov) mengatakan, jabatan berkenaan sedang dalam proses mendapatkan semula AS$73 juta (S$100 juta) yang dibekukan dalam akaun bank Amerika, disahkan dibuka dan diuruskan oleh Higginbotham dan Prakazrel ‘Pras’ Michael bagi pihak Jho Low, tahun lalu. 

- CNA/NA/na

Top