Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bayaran VEP untuk masuk M'sia dilaksanakan hujung April

Pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Lebuh raya Linkedua dijangka bermula hujung bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran VEP untuk masuk M'sia dilaksanakan hujung April

Gambar hiasan. (Gambar: AFP PHOTO / ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 05 Apr 2018 03:50PM Dikemas Kini : 06 Apr 2018 12:35AM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Lebuh raya Linkedua dijangka bermula hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kini sistem VEP sedang menjalani ujian bersama e-dompet 'Touch 'n Go' bagi tujuan pembayaran caj jalan raya (RC) tanpa tunai.

“Pelaksanaan sistem VEP melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan prasarana dan pembangunan sistem bersepadu yang melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Selain itu penyelasaran prosedur dengan agensi-agensi yang berada di pintu sempadan juga perlu dimuktamadkan sebelum pelaksanaan VEP,” katanya menjawab soalan Anuar Abdul Manap (BN Sekijang) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Encik Anuar antara lain bertanyakan bilakah sistem VEP ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Datuk Abdul Aziz berkata tag VEP berkenaan yang menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) dan disepadukan dengan sistem pembayaran tanpa menggunakan wang tunai yang dibangunkan ‘Touch 'n Go’, akan turut dilaksanakan di laluan Malaysia-Thailand tahun ini.

Dalam pada itu Datuk Abdul Aziz berkata pihak kementerian bercadang untuk melaksanakan teknologi RFID yang boleh mengesan kenderaan klon dan mengenal pasti saman tertunggak kepada kenderaan tempatan pada awal tahun depan.

“Kerajaan sedang berbincang dengan pihak Touch ‘n Go untuk memberi tag RFID secara percuma kepada rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Encik Anuar mengenai pelaksanaan RFID bagi kenderaan tempatan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) mengenai jumlah trafik di laluan Tambak Johor dan Lebuh raya Linkedua, Abdul Aziz berkata kira-kira 450,000 kenderaan dari Singapura melalui kedua-dua laluan itu setiap bulan dengan melibatkan kutipan RC sebanyak RM150 juta (S$50 juta).

Sumber : Bernama/AQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan