Images
  • a (2)
    (Gambar: Yuya Shino/Reuters)

Airbnb hadapi tuntutan mahkamah penduduk Israel kerana tarik balik senarai petempatan

BAITULMAKDIS: Para peguam mengemukakan tuntutan mahkamah di Israel pada Khamis (22 Nov) terhadap Airbnb, yang menuduh syarikat itu melakukan "diskriminasi mengejutkan" dan menuntut bayaran ganti rugi setelah syarikat itu menarik balik senarai penempatan-petempatan Israel di kawasan Tebing Barat yang ditakluki.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu menyatakan minggu ini bahawa ia akan menarik balik senarai sekitar 200 kediaman di petempatan-petempatan itu ekoran kritikan orang ramai yang "percaya bahawa syarikat-syarikat tidak sepatutnya meraih keuntungan daripada tanah orang-orang kehilangan tempat tinggal".

Menerusi para peguamnya, Cik Ma'anit Rabinovich dari daerah petempatan Kida di Tebing Barat yang menawarkan bilik-bilik sewa tetamu, mengatakan bahawa langkah tersebut "menunjukkan diskriminasi serius, menyinggung perasaan dan mengejutkan".

Cik Rabinovich menuntut 15,000 shekels (S$3,532) sebagai ganti rugi. Tuntutan mahkamah itu melibatkan jumlah ganti rugi yang belum ditetapkan bagi pihak orang-orang yang menghadapi situasi sama. Ini menurut dokumen-dokumen mahkamah yang dikemukakan di Mahkamah Daerah Jerusalem.

"Keputusan syarikat itu disasarkan khusus terhadap warga Israel yang tinggal di kawasan petempatan, menurut pihak pempetisyen, dan ini sangat serius, terutamanya diskriminasi yang mengejutkan," menurut para peguam Rabinovich dalam satu kenyataan.

"(Ia adalah) sebahagian daripada peperangan lama yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan (yang sebahagian besar jelas anti-Semitik) terhadap negara Israel secara keseluruhan dan terhadap warga Israel yang tinggal di petempatan khususnya."

Para warga Palestin yang ingin menubuhkan sebuah negara merdeka merangkumi Tebing Barat mengalu-alukan tindakan Airbnb. Kebanyakkan kuasa dunia menganggap petempatan Israel di tanah Palestin sebagai satu pencerobohan undang-undang antarabangsa dan warga Palestin menegaskan adalah salah bagi syarikat-syaraikat untuk meraih keuntungan daripadanya.

- Reuters/NA/na

Top