Images
  • 1mdb logo
    Papan iklan 1MDB di Kuala Lumpur. (Gambar: REUTERS/Olivia Harris)

1MDB perlu S$14 bilion untuk lunas hutang

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memerlukan sekitar RM42.26 bilion (S$14 bilion) untuk membayar wang pokok dan faedah pinjaman yang matang antara November 2015 hingga Mei 2039.

Ini berasaskan andaian pelan rasionalisasi yang dilaksanakan dan tiada pinjaman baru dibuat selepas Oktober 2015, demikian menurut Laporan Pengauditan 1MDB yang dikeluarkan semalam (16 Mei).

Dalam satu ringkasan eksekutif, laporan itu menyatakan bahawa pinjaman belum bayar 1MDB berjumlah RM55 bilion (S$18.6 bilion) sehingga 31 Oktober 2015 berbanding aset sebanyak RM58.60 bilion (S$19.8 bilion), di mana sejumlah RM20.31 bilion (S$6.86 bilion) mendapat jaminan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Laporan tersebut, 1MDB perlu menyediakan dana yang besar untuk melunaskan bayaran komitmennya yang tinggi iaitu sebanyak RM4.88 bilion (S$1.65 bilion) pada 2016, RM14.74 bilion (S$4.98 bilion) pada 2023 dan sejumlah RM5.14 bilion (S$5.14 bilion) pada 2039.

1MDB juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1.52 bilion (S$500 juta) setiap tahun daripada November 2015 hingga Mei 2024 untuk membayar balik pinjaman.

Dalam pada itu, bagi tempoh 2016 hingga 2023, kos pinjaman yang perlu ditanggung oleh Kumpulan 1MDB berjumlah RM9.08 bilion (S$3 bilion).

Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan pada 2009 dijangka matang pada 2039 (30 tahun) dengan kadar bayaran pembiayaan sebanyak RM287.50 juta (S$97 juta) setahun.

Komitmen Kumpulan 1MDB bagi IMTN dari November 2015 hingga Mei 2039 berjumlah RM11.90 bilion (S$4 bilion) yang merangkumi RM5 bilion (S$1.69 bilion) wang pokok dan RM6.90 bilion (S$2.33 bilion) kos pembiayaan.

Baki pinjaman Kumpulan 1MDB dijangka berjumlah RM28.21 bilion (S$9.53 bilion) manakala kedudukan aset Kumpulan 1MDB berjumlah RM27.01 bilion (S$9.12 bilion).

Sebahagian aset hartanah akan dibangunkan untuk menambah nilainya dan memberi pulangan pada masa depan, menurut laporan tersebut.

- BERNAMA/AQ/aq

Top