Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban tsunami Indonesia cecah 373, menurut agensi bencana nasional

Ombak tsunami yang membadai Indonesia meragut nyawa sekurang-kurangnya 373 orang dan mencederakan lebih 1,400 yang lain di pulau-pulau Jawa dan Sumatera, kata seorang pegawai pada lewat Isnin (24 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban tsunami Indonesia cecah 373, menurut agensi bencana nasional

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 24 Dec 2018 10:23PM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 10:29PM

JAKARTA: Ombak tsunami yang membadai Indonesia meragut nyawa sekurang-kurangnya 373 orang dan mencederakan lebih 1,400 yang lain di pulau-pulau Jawa dan Sumatera, kata seorang pegawai pada lewat Isnin (24 Dis).

"1,459 orang cedera manakala 128 lain masih hilang," kata Sutopo Purwo Nugroho, seorang jurucakap agensi bencana Indonesia, dalam satu kenyataan.

Para penyelamat Indonesia sedang berusaha mencari para mangsa dalam keadaan cuaca hujan lebat menyusuli tsunami yang tercetus akibat letusan gunung Anak Krakatau, dengan pakar-pakar memberi amaran bahawa lebih banyak ombak besar mungkin melanda negara itu.

"Jumlah kematian dan kerosakan akan terus meningkat," menurut Encik Nugroho.

Ratusan rumah, unit hotel, kedai dan kapal musnah akibat ombak tsunami yang membadai kawasan pantai di bahagian selatan Sumatera dan bahagian hujung barat Jawa pada sekitar 9.30 malam pada Sabtu (23 Dis) menyusuli letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Lima daerah terjejas adalah Pandeglang, Serang, Lampung Selatan, Tanggamus dan Pesawaran - semuanya di wilayah Banten dan Lampung di Selat Sunda. Kawasan pantai di daerah Pandeglang terjejas teruk akibat bencana tersebut, menurut agensi itu.

BNPB mendedahkan bahawa sebahagian besar mangsa ditemui di Mutiara Hotel Carita Cottage, Sambolo Village dan Hotel Tanjung Lesung.

Pasukan-pasukan penyelamat sedang menggunakan alat penggalian dan perkakas berat lain untuk membersihkan serpihan-serpihan dari kawasan-kawsaan terjejas di sekitar Selat Sunda pada Isnin (24 Dis), sedang beribu-ribu penduduk dipindahkan ke tempat lebih selamat.

"Pihak tentera dan polis sedang mencari lebih ramai mangsa di bawah runtuhan," kata Dody Rusnawadi, seorang pegawai kanan di agensi bencana nasional, sambil menambah bahawa operasi menyelamat dijangka mengambil masa seminggu. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan