Skip to main content

Iklan

Iklan

MENDAKI biaya hampir $1.9 juta bantu pelajar, pekerja harungi COVID-19

Yayasan MENDAKI akan segera melaksanakan inisiatif-inisiatif bernilai hampir S$1.9 juta bagi membantu masyarakat Melayu/Islam yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MENDAKI biaya hampir $1.9 juta bantu pelajar, pekerja harungi COVID-19

Gambar fail para pelajar dalam program MENDAKI.

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan segera melaksanakan inisiatif-inisiatif bernilai hampir S$1.9 juta bagi membantu masyarakat Melayu/Islam yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Sokongan tambahan dalam pendidikan dan memastikan pekerja kekal berdaya saing itu membentuk sebahagian daripada pakej daya tahan SGTeguhBersatu yang diumumkan baru-baru.

Disasarkan khusus bagi anggota masyarakat yang mudah terjejas MENDAKI bersama-sama MENDAKI SENSE akan mendampingi penerima bantuannya yang sedia ada serta juga masyarakat Melayu/Islam amnya bagi memastikan bantuan yang diumum di peringkat nasional akan sampai kepada mereka.

Ini termasuk bantuan bagi para pelajar dalam program MENDAKI, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), pelajar Melayu di institut pengajian tinggi, penerima Pinjaman Pengajian MENDAKI serta para pekerja dan pemohon kerja.

Para penerima bantuan sedia ada akan dimaklumkan mengenai peningkatan kepada program-program dan skim-skim sekarang ini serta pengenalan langkah-langkah baru bagi lebih membantu mereka.

Usaha-usaha ini turut dilaksanakan bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam masa-masa mencabar ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI Cik Zuraidah Abdullah berkata langkah-langkah tersebut bagi memastikan pelajar, termasuk mereka di institusi-institusi pengajian tinggi, tidak terjejas dalam sekitaran pembelajaran yang berubah kini.

"Sokongan kami bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran mereka. Para pekerja juga memerlukan sokongan kami.

"Oleh itu, MENDAKI SENSE akan melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu pekerja kekal berdaya tahan dan terus memanfaatkan peluang-peluang untuk mendapatkan kemahiran baru dan meningkatkan kemahiran mereka."

SOKONG PELAJAR PROGRAM MENDAKI YANG PERLU ALAT DIGITAL

MENDAKI akan membantu para pelajar mendapatkan peranti digital untuk mendapat akses kepada pembelajaran online.

Ini terutama sekali dengan bermulanya pembelajaran di rumah sepenuhnya bermula hari ini (8 Apr).

Para pelajar dalam Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dan Program Tuisyen Kolaboratif (CTP), yang mana keluarga mereka tidak mampu membeli komputer riba, akan disediakan dengan komputer riba baru melalui Program NEU-PC Plus.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Gambar fail para pelajar MTS.

Program tersebut menawarkan peluang kepada pelajar dan individu dari keluarga berpendapatan rendah memiliki komputer baru pada harga berpatutan.

MENDAKI akan bekerjasama dengan sekolah dan institusi pembelajaran bagi memudahkan dan mempercepat proses aplikasinya.

Badan tersebut juga akan meminjamkan komputer riba kepada pelajar, sementara menunggu pemohonan mereka diproses, bagi memastikan pembelajaran mereka di rumah tidak terjejas.

Komputer riba itu akan dihantar langsung ke rumah pelajar.

Tambahan itu, MENDAKI juga akan memberi alat digital kepada kanak-kanak prasekolah, murid sekolah rendah dan penuntut IT tertentu yang tidak memiliki peranti tersebut.

SOKONG PELAJAR ITE YANG HILANG KERJA SAMBILAN

Para penuntut ITE yang hilang kerja sambilan mereka boleh menerima wang elaun S$10 setiap hari kerja Isnin hingga Jumaat dari MENDAKI.

Mereka boleh menerima elaun itu yang dihadkan kepada 10 atau 20 hari sebulan.

Bantuan tersebut bagi membiayai kos pengangkutan pergi balik sekolah dan makanan di sekolah selama tiga bulan bermula Mei.

Mereka yang layak menerima termasuk penuntut dengan pendapatan per kapita keluarga tidak lebih S$550 dan penuntut yang salah seorang ibu bapa mereka hilang kerja atau pendapatan menjadi kurang akibat COVID-19.

SOKONG PELAJAR MELAYU DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI

Para pelajar yang sebelum ini tidak layak bagi Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) atau Pinjaman Pengajian bebas faedah MENDAKI disebabkan kriteria pendapatan, boleh memohon semula bagi skim itu sekiranya ada perubahan pada pendapatan keluarga akibat COVID-19.

Mereka yang kini menerima kurang 100 peratus subsidi melalui TTFS juga boleh memohon bagi subsidi tambahan jika pendapatan keluarga mereka terjejas disebabkan keadaan COVID-19.

Para penuntut yang kini menerima subsidi 50 peratus atau 75 peratus daripada TTFS akan dimaklumkan oleh MENDAKI untuk memohon semula bagi subsidi lebih tinggi sekiranya pendapatan keluarga mereka berubah.

(Gambar: MENDAKI)

Para pelajar yang tidak memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bagi Pinjaman Pengajian bebas faedah MENDAKI.

Badan tersebut juga akan bekerjasama dengan persatuan pelajar Muslim di institusi pengajian tinggi bagi mendampingi para pelajar memerlukan, terutama sekali mereka yang belum menerima TTFS.

SOKONG PENERIMA PINJAMAN PENGAJIAN MENDAKI DI IHL LUAR NEGARA

Para penerima Pinjaman Pengajian MENDAKI yang kini melanjutkan pengajian di luar negara dan memenuhi kriteria relevan boleh meminta tokokan kepada pinjaman pengajian mereka.

Ini sekiranya mereka menghadapi kesukaran membayar yuran tuisyen mereka disebabkan perubahan pendapatan keluarga akibat COVID-19.

Keutamaan diberikan kepada penuntut tahun akhir pengajian mereka.

SOKONG PEKERJA DAN PEMOHON KERJA

Bagi membantu para pemohon kerja dan pekerja yang diberhentikan, MENDAKI SENSE akan menganjurkan Pesta Kerjaya secara Maya dan menyediakan talian bantuan untuk mereka yang memerlukan pertolongan dalam menggunakan laman itu.

MENDAKI SENSE juga akan menggalak penggunaan app dan platform online seperti App Cari Kerja dan Kiosk, serta Inisiatif Pekerjaan SGUnited bagi menghubungkan pemohon kerja kepada sektor-sektor pertumbuhan relevan.

Dalam membantu meningkatkan keupayaan pekerja, MENDAKI SENSE juga akan memperkukuhkan lagi akses kepada peluang meningkatkan kemahiran dan membolehkan peserta menerima elaun latihan.

Ini termasuk menggalak penuntut yang bakal menamatkan pengajian di ITE, politeknik dan institusi posmenengah lain untuk mengikuti Program Latihan SGUnited. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa