Skip to main content

Mempelai ini terpaksa ubah tarikh nikah sebanyak 2 kali angkara COVID-19

Majlis persandingan secara lumrah memang merupakan detik yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh pasangan yang bercinta.

Anggaran Waktu Membaca:
Mempelai ini terpaksa ubah tarikh nikah sebanyak 2 kali angkara COVID-19

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 06 Apr 2020 10:07PM Dikemas Kini : 06 Apr 2020 10:46PM

BERITAmediacorp: Majlis persandingan secara lumrah memang merupakan detik yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh pasangan yang bercinta. Namun berbeza pula debarannya bagi pasangan Ibnu Aliff Rahim dan Nur Farhana Mohamad yang kedua-duanya berusia 30 tahun.

Apabila mendapat tahu tentang pengumuman Perdana Menteri pada Selasa lalu (31 Mac) mengenai langkah-langkah pencegahan COVID-19 lebih ketat yang akan berkuat kuasa pada Selasa (7 April), Ibnu Aliff berasa gusar serta bingung sedang keadaan menjadi kelam-kabut.

Ini kerana beliau sepatutnya bernikah dengan pasangannya Nur Farhana pada 7 April setelah ditunda dari tarikh asal iaitu 2 April.

Related article image

"Kami terpaksa tukar tarikh 2 April kerana saya sakit sedikit, batuk. Jadi saya jumpa doktor pada 30 Mac dan diberikan cuti sakit selama lima hari dan dinasihatkan supaya jangan keluar rumah kerana keadaan krisis COVID-19 sekarang. Jadi kami buat persiapan baru dan dapat tarikh baru 7 April. Bila kami dapat tahu tentang pengumuman baru PM Lee, kami rancang untuk tukar kepada 5 April,” kongsi Nur Farhana.

Pengantin lelaki, Ibnu Ariff menceritakan: "Bila saya tahu tentang itu, saya ambil cuti untuk ke Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) keesokan harinya. Awalnya saya diberitahu saya tidak boleh tukar tarikh kepada 5 April kerana sudah tiada slot dan kadi tidak ada borang untuk pernikahan kami tapi kami diberi sedikit kelonggaran dan kami amat berterima kasih, kadi pergi sendiri ke rumah pegawai bertugas untuk ambil borang itu untuk nikahkan kami hari ini (5 April).”

HANYA 3 HARI UNTUK UBAH PERSIAPAN

Walaupun hanya mempunyai tiga hari untuk membuat perubahan pada segala persiapan awal mereka, pasangan ini tetap bersyukur kerana perintah baru itu tidak dikuatkuasakan serta-merta.

"Rancangan kita untuk berbulan madu kena batalkan. Jadi kita rancang "staycation", itu pun kena tukar tarikh dua kali tapi Alhamdulillah mereka faham dengan situasi kami dan bagus jugalah pemerintah beri masa untuk kami buat persiapan baru, tukar mana yang patut dan kami hargai pihak lain yang bantu kami," kata Ibnu Aliff.

Pasangan yang sudah berkenalan sejak 13 tahun menganggap dugaan dan cabaran ini hanya akan menguatkan lagi ikatan dan persefahaman mereka berdua.

Tambahan lagi, mereka sedar dan akur bahawa apa yang dilakukan pemerintah ini demi kebaikan semua dan bersyukur atas kerjasama pihak-pihak lain yang membantu mereka termasuk pihak pengurusan lokasi majlis pernikahan mereka iaitu The Ballroom Singapore.

Mereka merupakan antara enam mempelai yang berjaya menukar tarikh pernikahan mereka sebelum tarikh penutupan sementara lokasi perkahwinan, The Ballroom Singapore.

THE BALLROOM SPORE TAWARKAN KHIDMAT PERCUMA

Sebelum ini, The Ballroom Singapore yang terletak di East Coast Road sudah mula menawarkan khidmat percuma bagi majlis pernikahan yang terjejas oleh COVID-19 sejak 27 Mac lalu.

Related article image

Apabila diumumkan pemerintah pada 24 Mac bahawa semua majlis keramaian tidak boleh melebihi 10 orang, pengurus operasi The Ballroom Singapore, Encik Shaikh Qamal Adam dan pihak pengurusannya berbincang dan bersetuju untuk membantu pasangan-pasangan yang terjejas dengan mengizinkan mereka untuk menggunakan tempat itu bagi melangsungkan majlis persandingan mereka secara percuma.

Encik Shaikh Qamal memberitahu BERITAmediacorp: "Apabila diumumkan hal itu, semua majlis persandingan terpaksa ditunda tapi kami beri pilihan untuk semua pasangan yang terjejas untuk adakan majlis pernikahan mereka dahulu dan bila kami tengok masih banyak slot kosong, kami berbincang dan kami bersetuju untuk membenarkan pasangan lain di luar sana yang terjejas untuk gunakan tempat kami untuk langsungkan pernikahan mereka dan respons yang kami terima amat baik."

Namun ada beberapa syarat yang dikenakan demi menjaga keselamatan orang ramai.

Hanya sepuluh orang sahaja dibenarkan termasuk kadi serta mempelai, dan nama serta nombor telefon kesemua sepuluh orang itu perlu diserahkan terlebih dahulu sebelum majlis tersebut berlangsung dan suhu badan mereka akan diperiksa.

Related article image

Setiap majlis juga dihadkan kepada satu jam sahaja dengan selingan 15 minit sebelum dan sesudah majlis untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan.

"Duit sewa kami sudah bayar, tempat ini pun sudah dihias untuk majlis perkahwinan. Jadi kami fikir, manfaatkanlah tempat ini. Ada antara mereka tiada pilihan lain. Ada yang asalnya nak nikah di masjid, masjid dah tutup, ada yang rumahnya kecil. Ada pula yang mungkin ibu bapa sudah berpisah. Kalau buat di rumah mak, bapa tak nak datang, kalau buat di rumah bapa, mak tak nak datang," kata Encik Shaikh Qamal.

Dengan pengumuman perintah baru pemerintah, Encik Shaikh Qamal cuba membantu seberapa banyak pasangan yang terjejas tetapi mereka juga menghadapi kesulitan lain seperti kesukaran untuk mendapatkan slot dan janji temu yang baru bersama kadi sebelum 7 April.

Encik Shaikh Qamal prihatin akan kesukaran yang dihadapi bakal mempelai dan mahu sedaya upaya mempermudahkan urusan mereka, kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

SEDAYA UPAYA BANTU MEMPELAI TERJEJAS

"Dalam perniagaan, ada masa untuk kita buat duit dan ada juga masa duit itu bukan lagi menjadi satu pertimbangan. Alhamdulillah, selama ini masyarakat menyokong perniagaan kami dan saya rasa pada waktu ini, mereka boleh meraih manfaat daripada perniagaan kami dari segi menggunakan tempat kami untuk melangsungkan majlis mereka. Bagi kami, kami hanya nak selamatkan majlis pernikahan orang dan saya percaya ada berkat dalam membantu orang,"

Walaupun terjejas teruk oleh COVID-19, Encik Shaikh Qamal hanya mahu berfikiran positif dan menganggapnya sebagai satu hikmah di sebalik perintah penutupan sementara ini.

"Saya anggap ini sebagai satu cuti awal untuk kami semua termasuk para pekerja kami dan buat persiapan untuk menyambut bulan Ramadan. Kami juga akan gunakan waktu sebulan ini untuk buat beberapa perubahan di tempat ini dan memikirkan bagaimana kebersihan boleh dipertingkatkan lagi walaupun setelah tiadanya COVID-19 nanti.”

Mulai Selasa (7 April), semua tempat kerja dan kedai-kedai akan ditutup buat sementara waktu selama sebulan, kecuali yang menawarkan khidmat-khidmat penting.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita