Masyarakat Melayu/Islam perlu persiap diri harungi tempoh 'lebih sukar' pasca COVID-19
Masyarakat Melayu/Islam perlu bersiap sedia mengharungi hari-hari yang lebih sukar pasca COVID-19.
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam perlu bersiap sedia mengharungi hari-hari yang lebih sukar pasca COVID-19.
Ini dapat dilakukan dengan menyesuaikan diri dengan norma-norma baru selain mempertingkatkan diri dengan kemahiran yang relevan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli membuat gesaan itu semasa sesi dialog maya anjuran unit maklum balas pemerintah, REACH, yang bertajuk "Hidup Bersama COVID-19".
PERSIAPKAN DIRI HARUNGI TEMPOH SUKAR
Turut turun padang bersama Encik Masagos bagi sesi selama dua jam itu adalah para pemimpin Melayu/Islam yang lain seperti Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman dan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Dr Faishal Ibrahim.
Moderator dialog ialah penasihat akar umbi GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam.
Sekitar 150 peserta mengambil bahagian secara maya bagi membincangkan isu-isu berkaitan COVID-19.
KEHIDUPAN PASCA COVID-19 ANTARA KEPRIHATINAN UTAMA
Para peserta rata-rata menyuarakan keprihatinan terhadap kehidupan di Singapura pasca COVID-19.
Menjawabnya, Encik Masagos turut berkongsi bagaimana masyarakat Melayu/Islam perlu mempersiapkan diri menempuh tempoh yang 'lebih sukar' dengan pelbagai rancangan yang dilakar sebelum ini terkulai dek COVID-19.
"Jadi dengan keadaan ini, maknanya, kita perlu mempersiapkan diri bagi situasi di Singapura yang sangat berbeza. Umpamanya, satu situasi di mana kebiasaanya, bila ada penurunan ekonomi, waktu itulah pemerintah keluarkan projek-projek untuk membangun prasarana kita.
"Tapi sekarang ini, terbalik. Makin meleset, makin kita berhati-hati untuk projek-projek prasarana kita," jelas Encik Masagos.
Encik Masagos turut menaruh harapan agar masyarakat Melayu/Islam akan terus mempertingkatkan diri dengan menimba kemahiran-kemahiran relevan dan tidak mengambil jalan pintas.
"Tapi kerana dia sudah terlalu lama di situ, dia perlu dilatih kembali. Jadi ini satu masalah yang saya amat khuatiri sekali dalam masyarakat kita di mana anak-anak kita di ITE umpamanya, mereka lebih suka cepat-cepat ambil pekerjaan selaku penghantar makanan atau pemandu kereta sewa privet dan sebagainya, menjadikan pekerjaan yang tetap," tekan Encik Masagos.
Sungguhpun demikian, Encik Masagos yakin bahawa dengan gagasan "Masyarakat Gemilang" yang antara lain menekankan sikap berdaya bingkas, orang-orang Melayu/Islam kata Encik Masagos, berupaya mendakapi dan menyesuaikan diri dengan norma-norma baru.
Beliau turut memberi contoh bagaimana para asatizah tempatan dengan pantas dapat mendakapi teknologi 4.0 untuk terus berdakwah di ruang siber.
Menyentuh tentang keluarga berpendapatan rendah, Encik Masagos memberi jaminan bahawa mereka akan terus dibantu menerusi pelbagai skim Pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.