Skip to main content

Masyarakat Kristian ucap Selamat Hari Raya; puji umat Islam S'pura tabah jalani ibadah puasa semasa COVID-19

Masyarakat Kristian di Singapura memuji umat Islam tempatan kerana tabah menjalani ibadah puasa dan kemudian terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang mencabar di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Kristian di Singapura memuji umat Islam tempatan kerana tabah menjalani ibadah puasa dan kemudian terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang mencabar di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, para penganut agama Kristian juga terpaksa melalui fasa yang serupa setelah kegiatan keagamaan dan perhimpunan di gereja dilarang selepas berlaku penularan COVID-19 di sebilangan gereja setempat.

Seperti umat Islam, para penganut Kristian juga tidak dapat menyambut Hari Easter dan Good Friday pada 10 April lalu.

Ketua Biskop Singapura, Paderi William Goh memuji umat Islam tempatan kerana tabah mengharungi bulan Ramadan sambil berpuasa dan kemudian menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Dalam suratnya kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Ketua Biskop Singapura, Paderi William Goh dan Ketua Vikar (Hubungan Silang Agama) Philip Heng bagi pihak masyarakat Katolik di Singapura, menyifatkan krisis COVID-19 ini sebagai satu cabaran yang sangat berat dan mencabar bagi seluruh penduduk dunia yang begitu terkesan dengan pandemik yang boleh membawa maut itu.

Masyarakat Melayu/Islam di sini juga tidak terkecuali dan seperti masyarakat dunia yang lain juga terpaksa berkorban dan membuat penyesuaian yang besar pada cara kita beribadah dan menjalani kehidupan harian.

Dalam surat tersebut, kedua-dua pemimpin agama Kristian itu turut berkongsi bahawa banyak pengajaran yang boleh ditimba daripada masyarakat Islam Singapura.

"Kami meraih banyak pengajaran dan amat bersyukur kepada masyarakat Islam yang ikhlas berkorban masa dan mengusahakan pelbagai inisiatif untuk membantu para petugas barisan hadapan dan pekerja khidmat penting dan kami turut bersimpati terhadap para individu yang kehilangan orang tersayang dan mengalami kesulitan hidup semasa tempoh yang mencabar ini," menurut kandungan surat itu lagi.

Masyarakat Katolik di sini ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Singapura, dedah surat itu selanjutnya.

Membalas surat tersebut, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir, meluahkan rasa terharu dan penghargaannya kepada masyarakat Kristian yang tidak putus-putus memberikan sokongan semasa bulan Ramadan dan Syawal yang serba mencabar ini.

"Masyarakat Islam Singapura mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin agama Kristian dan para penganut agama itu atas ucapan penuh ikhlas dan kata-kata perangsang serta sokongannya sedang umat Islam di sini menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah-tengah pandemik COVID-19," tulis Mufti Negara Dr Nazirudin.

Penghargaan itu dikongsi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam catatan Facebooknya pada Isnin (25 Mei).

"Seperti mana yang diungkapkan dalam video Hari Raya kami untuk masyarakat, biar jauh di mata, dekat di hati," ujar Mufti Negara Dr Nazirudin dalam suratnya itu.

"Semoga kita terus berdiri teguh bersama semasa tempoh mencabar ini," menurut catatan Facebook MUIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita