Masjid Pusara Aman hulur NKF S$20,000 beli mesin dialisis; rancang sumbang 1 lagi demi kebajikan pesakit
Masjid Pusara Aman mendermakan S$20,000 kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk membantunya membeli sebuah mesin dialisis.
SINGAPURA: Masjid Pusara Aman mendermakan S$20,000 kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk membantunya membeli sebuah mesin dialisis.
Demikian menurut catatan yang dimuat naik ke laman Facebook Masjid Pusara Aman pada Jumaat (9 Apr).
Setakat sehingga 31 Mac lalu, Masjid Pusara Aman berjaya mengumpul dana sebanyak S$16,954.60 daripada para jemaah menerusi tabung derma NKF yang ditempatkan di pintu masuk ruang solat masjid tersebut.
Lembaga Pentadbir Masjid kemudian memutuskan untuk menokok bakinya untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak S$20,000, iaitu dana yang diperlukan untuk membeli sebuah mesin dialisis.
Cek sumbangan derma itu sudahpun diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NKF Tim Oei dalam lawatan ke Pusat NKF di 81 Kim Keat Road pada Khamis (8 Apr).
Ia disampaikan oleh anggota Lembaga Pentadbir masjid tersebut, Encik Muhammad Noor s/o Muthan, yang akan melepaskan jawatannya setelah penggal khidmatnya sejak 2018 berakhir tahun ini. Beliau turut diiringi oleh beberapa wakil Masjid Pusara Aman.
Dalam lawatan itu, mereka turut diberikan taklimat dan berpeluang untuk meninjau-ninjau Kidney Discovery Centre yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit ginjal.
DANA DIKUMPUL SEJAK 2019
Menurut Pengerusi Masjid Pusara Aman, Encik Mustapha Kamal Osman, dana itu dikumpul sejak 2019 semasa pihak masjid menerima kiriman emel daripada NKF yang memohon bantuan untuk mengumpul dana bagi membantu para pesakit ginjal.
"Lembaga Pentadbir Masjid bersetuju untuk menempatkan tabung NKF di pintu masuk musollah bermula 1 Mac 2019 untuk jangka masa tiga bulan sehingga 31 Mei 2019. Tujuan asal adalah untuk mengumpul dana untuk NKF sahaja. Setiap Jumaat, kami akan memaklumkan para jemaah dan memohon sokongan jemaah untuk menyumbang kepada tabung tersebut," jelas Encik Mustapha.
TABUNG DERMA TERSUMBAT
18 hari selepas tabung itu diletakkan di masjid tersebut, pihak masjid pada mulanya menyangka bahawa ia sudah penuh lalu membukanya untuk mengira jumlah derma yang dikumpul.
"Jumlah yang pertama bila tabung dibuka pada 18 Mar 2019 adalah S$480. Kami menyangkakan tabung dah penuh tetapi rupanya ia tersumbat," kongsi Encik Mustapha.
Setakat sehingga 31 Mei 2019, Encik Mustapha mendedahkan bahawa pihak masjid berjaya mengumpul sebanyak S$3,921 daripada para jemaah.
"Setelah melihat perkembangan yang menggalakkan dan sokongan Masjid Pusara Aman dalam membenarkan NKF untuk terus meletakkan tabungnya di masjid kami, pihak NKF membuat usulan untuk kami menaja sebuah mesin dialisis," ujar beliau.
Usaha Masjid Pusara Aman untuk mengumpul dana bagi pihak NKF bagaimanapun terjejas oleh penguatkuasaan 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada tahun lalu.
Sejurus selepas pemerintah memutuskan untuk melonggarkan sekatan-sekatan tertentu COVID-19, pihak masjid kemudian meneruskan usaha untuk mengumpul dana.
RANCANG SUMBANG 1 LAGI MESIN DIALISIS
Mesin dialisis sumbangan Masjid Pusara Aman dijangka tiba pada bulan November ini dan ia akan dimanfaatkan oleh para pesakit ginjal yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Dialisis Queenstown.
Menurut Encik Mustapha, setiap mesin dialisis hanya boleh digunakan untuk enam pesakit.
Jangka hayat mesin itu pula dianggarkan selama 30,000 jam atau sekitar lapan tahun sahaja.
Pihak masjid akan terus meletakkan tabung derma NKF di pintu masuk ruang solat dengan harapan ia dapat menyumbang satu lagi mesin dialisis dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.