Skip to main content

Iklan

Iklan

Masagos umum inisiatif terbaru 'Wakaf Masyarakat S'pura' bagi biayai keperluan keagamaan Muslim tempatan

Masyarakat Islam Singapura akan mempunyai sebuah dana wakaf baru dipanggil Wakaf Masyarakat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

 BERITAmediacorp: Masyarakat Islam Singapura akan mempunyai sebuah dana wakaf baru dipanggil Wakaf Masyarakat Singapura.

Ditubuhkan dan dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), model pendanaan baru itu bertujuan untuk membiayai keperluan keagamaan Muslim tempatan termasuk dalam bidang pembangunan asatizah, institusi-institusi keagamaan dan program-program masyarakat bagi jangka panjang.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan inisiatif terbaru itu dalam Majlis Perjumpaan Hari Raya yang diadakan secara maya pada malam tadi (5 Jun).

Perjumpaan tahunan ini dijadikan sebagai satu wadah untuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam membentangkan pencapaian dan hala tuju masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19, ia dianjurkan secara online kali ini dan dihadiri lebih 100 pemimpin masyarakat.

Encik Masagos berkata, tumpuan beliau kali ini dikhususkan kepada usaha membantu membangunkan dan menyokong sektor keagamaan di negara ini.

SEKTOR KEAGAMAAN PENTING

Menurut Encik Masagos, golongan asatizah memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberi sokongan rohani kepada masyarakat kita.

(Gambar: M³)

(Gambar: M³)

"Mereka telah lama membuktikan kebolehan mereka. Kini mereka membuktikan pentingnya peranan mereka dalam mengharungi krisis COVID-19 yang mencabar ini.

"Keupayaan mereka bukanlah terbina dalam sehari – tetapi lahir dari tekad dan usaha pemimpin-pemimpin masyarakat terdahulu sepanjang berdekad-dekad lamanya. Begitulah lama masanya yang diperlukan untuk kepakaran ilmu agama matang, hingga asatizah kita tangkas memberi panduan dan memimpin masyarakat dalam hal-ehwal keagamaan dalam konteks yang unik di Singapura," kata beliau.

Namun, krisis COVID-19 menjejas teruk dana dan operasi masjid-masjid serta juga sara hidup golongan asatizah.

Di sinilah kata Encik Masagos, satu pendanaan kukuh dan berdaya tahan perlu diwujudkan agar para asatizah dapat menyara hidup dan program agama pula dapat berjalan lancar dan kebajikan jemaah terus terpelihara.

MENABUNG DEMI MASA HADAPAN

Transformasi sektor keagamaan sudahpun dimulakan.

Ini termasuk menyemak semula rangka dan skala gaji bagi para asatizah untuk dipadankan dengan kelayakan, pengalaman dan kemahiran mereka.

MUIS, menurut Encik Masagos, akan membuat perbandingan dengan sektor yang setaraf dan semasa tetapi prosesnya akan memakan masa.

Sekalipun ia belum dapat dilakukan, langkah jangka panjang harus diatur supaya masyarakat mampu melakukannya pada hari muka.

WAKAF MASYARAKAT SINGAPURA DITUBUHKAN

"Atas pertimbangan inilah, saya telah meminta MUIS untuk menubuhkan Wakaf Masyarakat Singapura. Wakaf ini bertujuan untuk menyokong institusi keagamaan kita, pembangunan asatizah serta usaha-usaha kemasyarakatan, yang belum didukung secara sistematik melalui wadah-wadah seperti dana MBMF dan pungutan zakat.

"Ia juga bakal menyokong penggajian para asatizah yang setimpal dengan sumbangan mereka," ujar Encik Masagos.

Beliau menambah, Wakaf Masyarat Singapura itu adalah sebuah portfolio baru dalam bentuk hartanah.

Ia juga akan menyatukan aset-aset dari pelbagai institusi wakaf, masjid-masjid dan sumbangan daripada masyarakat.

Menerusi sinergi ini, ia diharap akan meningkatkan nilai aset masyarakat serta memaksimumkan pendapatan.

Wakaf Masyarakat Singapura adalah sebuah dana untuk pelbagai kegunaan, menurut MUIS.

AMALAN SUMBANG HARTANAH SUDAH LAMA WUJUD

Amalan menyumbang hartanah demi kegunaan masa hadapan sememangnya sudah wujud dalam warisan kita, tambah Encik Masagos.

(Gambar: M³)

"Sebagai contoh, Almarhum Syed Omar Ali Aljunied telah mewakafkan Masjid Omar Kampong Melaka, yang kini masih berdiri di tapak asalnya di daerah bandar."

Seorang lagi dermawan ialah Almarhumah Hajjah Fatimah binti Sulaiman, seorang pedagang dan dermawan yang terkenal pada abad ke-19.

Beliau membina rumah-rumah bagi golongan fakir miskin dan mendermakan tapak rumahnya untuk didirikan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Hajjah Fatimah.

Sehubungan itu, Encik Masagos mengesyorkan anggota masyarakat yang memiliki hartanah supaya mewasiatkan hartanah tersebut kepada Wakaf Masyarakat Singapura sebagai amal jariah untuk menabur jasa kepada generasi mendatang, terutama dalam menyokong pembangunan asatizah dan alim ulama kita, seperti yang dilakukan Almarhum Syed Omar Aljunied dan Almarhumah Hajjah Fatimah.

"Sayangnya mewakafkan hartanah adalah satu budaya yang kelihatan hilang dari kita. Justeru, pada suasana Hari Raya yang mulia ini, saya ingin mengajak masyarakat, terutama mereka yang lebih mampu supaya bersedia untuk memanfaatkan rezeki dan harta kekayaan kita untuk membantu memenuhi pembiayaan sosio-agama kita pada masa ini dan masa hadapan.

"Saya yakin, dengan menjiwai matlamat berwakaf hartanah, ia dapat memberi kita matlamat yang murni dan bermakna dalam kita mengejar kejayaan di dunia," gesa beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan