Skip to main content

Iklan

Iklan

Masa menunggu bas lebih lama dek pemandu dalam pengasingan COVID-19

Penumpang bas dinasihatkan supaya bersedia menunggu lebih lama bagi perkhidmatan bas mereka sedang pengendali pengangkutan berdepan masalah tenaga kerja disebabkan pemandu yang menjalani pengasingan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masa menunggu bas lebih lama dek pemandu dalam pengasingan COVID-19

Penumpang berjalan dan duduk di bangku di Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh. (Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 10 Sep 2021 10:44PM Dikemas Kini : 10 Sep 2021 10:48PM

SINGAPURA: Penumpang bas dinasihatkan supaya bersedia menunggu lebih lama bagi perkhidmatan bas mereka sedang pengendali pengangkutan berdepan masalah tenaga kerja disebabkan pemandu yang menjalani pengasingan COVID-19.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan empat pengendali pengangkutan awam dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (10 Sep).

"Buat masa ini, tambahan masa menunggu bagi sebahagian besar perkhidmatan bas yang terjejas adalah dalam lima minit, dengan sejumlah kecil perkhidmatan menyaksikan masa menunggu bertambah lebih 10 minit. "

Untuk mengurangkan kesan terhadap penumpang, lebih banyak bas bertingkat akan digunakan di mana mungkin bagi perkhidmatan dengan "jumlah penumpang lebih tinggi".

"Ini termasuk perkhidmatan bas yang berhenti di sekolah, kerana kami menjangkakan jumlah penumpang meningkat apabila pelajar kembali ke sekolah minggu depan," kata LTA dan pengendali pengangkutan Go-Ahead, SBS Transit, SMRT Bus dan Tower Transit.

Lapan pusat pertukaran bas kini merupakan kelompok aktif COVID-19. Kelompok terbesar di Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh mempunyai 190 kes jangkitan setakat Khamis malam.

Berikutan itu, LTA mengumumkan langkah pengurusan COVID-19 lebih ketat bagi pusat pertukaran bas padaminggu lalu. Ini termasuk mengasingkan kawasan rehat dan ruang makan bagi kakitangan dan juga mengatur pemisah fizikal di kawasan merokok yang ditentukan.

Sebilangan besar kapten bas telah divaksinasi dan mereka yang dijangkiti tidak mengalami gejala atau menunjukkan gejala ringan, kata LTA dan syarikat pengangkutan pada Jumaat.

"Namun, mereka masih perlu mematuhi protokol perubatan agar pulih sepenuhnya."

Bagi memastikan tahap perkhidmatan dapat dikekalkan, kapten bas yang lain secara sukarela kembali bekerja pada hari cuti mereka.

"LTA dan PTO (pengendali pengangkutan awam) akan memantau keadaan dengan teliti dan membuat penyesuaian lanjut, termasuk apabila lebih banyak kapten bas kembali bekerja," katanya sambil meminta maaf kepada penumpang atas sebarang kesulitan akibat keadaan tersebut. 

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan