Malaysia lancar pakej rangsangan tambahan bernilai RM150 bilion
Kerajaan Malaysia hari ini (28 Jun) melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion (S$48 bilion) merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion (S$32 bilion) bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat, umum PM Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini (28 Jun) melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion (S$48 bilion) merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion (S$32 bilion) bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata bantuan itu tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion (S$123 bilion).
“Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion (S$65 bilion) telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.
“Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion (S$104 bilion) dan masih berbaki RM100 bilion (S$32 juta) untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini,” katanya semasa mengumumkan pakej PEMULIH yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan hari ini.
Encik Muhyiddin berkata bagi tumpuan meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Menurut beliau, semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 (S$160) pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun.
Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 (S$33 - S$450) akan dibayar pada September depan.
Beliau berkata secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun ini adalah RM4.9 bilion (S$1.5 bilion).
BANTUAN KHAS COVID-19
Sementara itu, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, kerajaan turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori tertentu.
Perdana Menteri berkata isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November dan RM300 (S$97) pada Disember manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 (S$65) pada Ogos dan RM300 pada November.
Isi rumah B40 pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala kategori bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 ringgit pada bulan Ogos.
Bagi isi rumah kategori M40 pula, beliau berkata mereka turut menikmati bantuan sebanyak RM250 (S$80), manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 (S$32) pada Ogos.
“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion (S$1.49 bilion).” ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.