Malaysia catat 3,318 kes baru COVID-19, 17 kematian
Sebanyak 3,318 kes baru COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 258,306.
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,318 kes baru COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 258,306.
Negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,214 kes dan diikuti Johor (742 kes).
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau hari ini berkata 3,311 kes adalah penularan tempatan melibatkan 1,673 warga tempatan dan 1,638 bukan warga negara manakala tujuh kes lagi merupakan kes import membabitkan tiga warga tempatan dan empat warga asing.
"Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 51,579 kes manakala dalam tempoh sama 17 kes kematian melibatkan warga tempatan dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 953 kes," katanya.
Beliau berkata terdapat 3,505 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia adalah 205,774 kes.
Dr Noor Hisham berkata 258 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 119 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya 14 kluster baru dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 484 dengan 83 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.
Dr Noor Hisham berkata daripada 14 kluster baru itu, 13 membabitkan tempat kerja manakala baki satu kluster lagi ialah dalam komuniti iaitu Kluster Kampung Teluk di Perak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.