Skip to main content

Majikan diberi sehingga 1 hari laksana aturan 'kilat' kerja dari rumah jika kes COVID-19 dikesan

Seandainya kes COVID-19 dikesan di tempat kerja, majikan diberi masa  sehingga satu hari untuk melaksanakan "rejim kilat bekerja dari rumah selama 14 hari", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (7 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Sep 2021 08:11AM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 09:10PM

SINGAPURA: Seandainya kes COVID-19 dikesan di tempat kerja, majikan diberi masa sehingga satu hari untuk melaksanakan "rejim kilat bekerja dari rumah selama 14 hari", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (7 Sep).

Dalam satu kenyataan media, MOM menyatakan rancangan susulan harus dilaksanakan sekiranya muncul kes disahkan positif COVID-19 dengan majikan mengamalkan langkah berjaga-jaga sejurus dimaklumkan.

PEKERJA POSITIF COVID-19 MESTI BERITAHU MAJIKAN

Sekiranya pekerja diuji positif COVID-19 melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR), mereka harus memberitahu majikan mereka, menurut MOM.

Jika pekerja berkenaan berada di tempat kerja pada mana-mana hari sepanjang tujuh hari sebelumnya, majikan mesti melaksanakan rejim kilat bekerja dari rumah selama 14 hari bagi semua pekerja yang boleh berbuat demikian dari tarikh hasil ujian positif itu.

Rejim itu harus dilaksanakan "secepat mungkin" dan tidak mengambil masa lebih sehari berikutan hasil ujian positif.

Pekerja juga digalakkan membuat swab kendiri pada setiap dua hingga tiga hari sepanjang tempoh 14 hari itu, tambah MOM.

Langkah berjaga-jaga lain termasuk yang ditetapkan oleh MOM sebelum ini iaitu segera meninggalkan dan mengepung kawasan di tempat kerja yang digunakan kes disahkan positif itu.

Tiada keperluan untuk mengosongkan bangunan atau seluruh aras terjejas sekiranya tiada kontak rapat dan pada tempoh jangka yang lama dengan kes positif berkenaan, jelas MOM.

Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang rapi di semua kawasan di tempat kerja yang terdedah kepada kes positif itu harus dijalankan mengikut garis panduan NEA.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan sepanjang tempoh maksimum 14 hari bekerja dari rumah, setiap pekerja dalam syarikat itu yang boleh bekerja dari rumah dikehendaki berbuat demikian.

Mereka yang bekerja dari rumah haruslah mengurangkan perhimpunan sosial dan hanya meninggalkan rumah untuk "kegiatan penting" sepanjang tempoh tersebut, tambah MOH.

Kementerian itu juga tidak membenarkan perhimpunan sosial dan interaksi sosial di tempat kerja mulai Rabu (8 Sep). MOH menambah ia akan mengambil "tindakan lebih tegas" jika terdapat kes positif dalam kalangan pekerja terjangkit.

Pada Selasa, Singapura melaporkan 332 kes baru COVID-19 iaitu jumlah harian tertinggi kes sejak 5 Ogos tahun lalu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita