Skip to main content

Iklan

Iklan

M'sia tidak cadang wajibkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin buat masa ini

Kerajaan Malaysia tidak bercadang menjadikan pengambilan dos penggalak sebagai syarat wajib buat masa ini untuk melengkapkan dos vaksin COVID-19 bagi rakyat negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak cadang wajibkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin buat masa ini

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 03:51PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 03:52PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak bercadang menjadikan pengambilan dos penggalak sebagai syarat wajib buat masa ini untuk melengkapkan dos vaksin COVID-19 bagi rakyat negara itu.

Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang berkata seperti vaksin dos pertama dan kedua, pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela.

“Walaupun peratusan (penerimaan) dos penggalak agak perlahan iaitu hanya 10.83 peratus sahaja setakat ini, tetapi kita tidak boleh jadikan booster (dos penggalak) sebagai wajib.

“Tetapi dengan munculnya varian yang membimbangkan (VOC) Omicron, kita sarankan agar dos penggalak ini diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini (2 Dis).

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin COVID-19 susulan terdapat 30 hingga 40 peratus penerima dua dos vaksin menolak untuk mengambil dos penggalak.

Menjelas lanjut, Encik Aaron berkata KKM akan terus giat melaksanakan langkah dan kempen bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin menerima dos penggalak.

Menjawab soalan asal Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) mengenai kajian dan data yang dirujuk KKM dalam memutuskan tentang keperluan dos ketiga, Aaron berkata ia hasil analisis interim yang melaporkan terdapat 10 peratus iaitu 55 kes daripada 551 petugas kesihatan mendapat jangkitan selepas menerima vaksin lengkap Comirnaty dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau berkata dalam satu kajian lagi iaitu RECoVaM (The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Program) yang dijalankan ke atas 14,500,984 individu yang menerima dos lengkap, terdapat jangkitan dan kadar keseluruhan adalah 1.30 antara 100 orang.

“Separuh daripada kesemua breakthrough Infections (mendapat jangkitan) berlaku dalam tempoh 30 hari, kadar breakthrough infection meningkat dengan peningkatan hari sejak penerimaan dos lengkap vaksin dan kadar jangkitan adalah 5.20 peratus hingga 5.32 peratus dalam tempoh 120 hari selepas dos lengkap,” katanya.

Sementara itu, Encik Aaron berkata sehingga 30 November lepas, penerima dos penggalak adalah seramai 2,457,510 orang atau 10.83 peratus daripada jumlah penduduk dewasa yang sudah menerima dos lengkap.

Beliau berkata dos itu diberikan kepada individu dewasa berumur 18 tahun dan ke atas dengan keutamaan kepada kumpulan rentan serta berisiko tinggi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara terus berfungsi dalam tahap optimum.

Beliau menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai perkembangan serta kepentingan suntikan dos penggalak.  

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan