Skip to main content

Iklan

Iklan

M'sia setuju benarkan warga S'pura, Brunei masuk negara dengan bersyarat

Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan warga Singapura dan Brunei untuk memasuki pintu sempadan negara tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selain menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia setuju benarkan warga S'pura, Brunei masuk negara dengan bersyarat

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Jun 2020 06:09PM Dikemas Kini : 19 Jun 2020 06:11PM

PUTRAJAYA: Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan warga Singapura dan Brunei untuk memasuki pintu sempadan negara tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selain menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin di rumah.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran tersebut tertakluk kepada kelonggaran sama yang diberikan kepada rakyat Malaysia oleh pemerintah Singapura dan kerajaan Brunei, berhubung perkara sama.

“Kebenaran diberikan Malaysia ini dalam bentuk timbal balas, di mana Singapura dan Brunei pada masa yang sama turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka tanpa sebarang sekatan,” katanya di sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini (19 Jun).

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata perkara itu sedang dibincangkan oleh Wisma Putra bersama Kementerian Ehwal Luar Singapura pada masa ini.

Keputusan Malaysia untuk memberi kelonggaran berkenaan adalah tertakluk kepada keputusan yang dicapai dalam rundingan antara Malaysia dan Singapura, katanya. 

Beliau menjelaskan kebenaran untuk masuk ke Malaysia tanpa sekatan hanya diberikan kepada warga Singapura dan Brunei, yang menetap di negara masing-masing. 

Jelasnya, setakat ini, Malaysia mengklasifikasikan Singapura, Brunei, Australia dan New Zealand sebagai negara zon hijau COVID-19.

“Senarai negara zon hijau dan zon merah COVID-19 ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah warga asing yang masuk ke negara secara sah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu mempunyai masa yang cukup untuk memperbaharui visa mereka kerana JIM beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bulan lepas.

Justeru beliau menambah JIM mempunyai alasan tersendiri apabila menahan mereka yang tinggal lebih masa pada masa ini.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan