Skip to main content

M'sia masuk fasa pemulihan pertama hari ini; lebih banyak sekatan pergerakan dilonggarkan

Malaysia melonggarkan lebih banyak sekatan COVID-19 hari ini (10 Jun) dengan hampir semua kegiatan sosial, ekonomi dan agama dibenarkan untuk disambung semula.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia masuk fasa pemulihan pertama hari ini; lebih banyak sekatan pergerakan dilonggarkan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jun 2020 04:07PM Dikemas Kini : 10 Jun 2020 04:09PM

KUALA LUMPUR: Malaysia melonggarkan lebih banyak sekatan COVID-19 hari ini (10 Jun) dengan hampir semua kegiatan sosial, ekonomi dan agama dibenarkan untuk disambung semula.

Bagaimanapun, protokol menjaga jarak selamat dan langkah keselamatan yang ketat perlu dipatuhi.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilonggarkan pada 4 Mei, enam minggu selepas sekatan-sekatan ketat dikuatkuasakan, yang menutup hampir semua ekonomi serta sempadan negara itu.

Mulai hari ini, Malaysia memasuki fasa pemulihan dengan larangan terhadap perjalanan rentas negeri ditarik balik selepas tiga bulan tidak dibenarkan.

Ini membolehkan para penduduk Malaysia pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa mereka secara fizikal buat pertama kali.

Perniagaan-perniagaan juga dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan di merata negara. Kelonggaran terhadap sekatan ini akan memacu sektor pelancongan domestik yang teruk terjejas sejak PKP dilaksanakan.

Perjalanan ke luar negara bagaimanapun masih tidak dibenarkan.

Di bawah fasa terbaru PKP ini, pasar dan pasar malam juga akan dibuka semula.

Selain itu, kedai-kedai gunting rambut turut dibenarkan untuk meneruskan operasi termaktub kepada pematuhan SOP yang ketat dan beroperasi melalui janji temu sahaja.

Kegiatan sosial seperti sukan kontak dan pusat hiburan masih belum dibenarkan kerana langkah menjaga jarak selamat agak sukar untuk dilaksanakan.

Sekolah-sekolah akan dibuka secara bertahap-tahap dengan SOP masih dibincangkan kementerian-kementerian pendidikan dan kesihatan negara itu.

Sumber : Agensi berita/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita