Skip to main content

Iklan

Iklan

M'sia lulus vaksin Sinovac bagi remaja 12-17 tahun

Penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China serta Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd kepada golongan remaja berumur 12 tahun dan ke atas dibenarkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia lulus vaksin Sinovac bagi remaja 12-17 tahun

Orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Sinovac di traik vaksin bergerak di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 21 Jun 2021. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Oct 2021 07:20AM Dikemas Kini : 02 Oct 2021 07:21AM

KUALA LUMPUR: Penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China serta Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd kepada golongan remaja berumur 12 tahun dan ke atas dibenarkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkan kelulusan bersyarat itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang pada Jumaat (1 Okt).

"Bagaimanapun, PBKD menyarankan penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi (lebih satu masalah kesihatan dialami serentak) dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

"Ini merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Comirnaty, keluaran Pfizer BioNTech, pada Jun lalu," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penilaian bagi penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

Dr Noor Hisham berkata vaksin jenama itu sebelum ini mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah itu menyatakan kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat mutu, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut untuk dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan