M'sia catat penurunan kes kematian COVID-19
Malaysia mencatatkan penurunan 27.2 peratus pada jumlah kes kematian berkaitan COVID-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 dari 31 Okt hingga 6 Nov iaitu kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43.
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan penurunan 27.2 peratus pada jumlah kes kematian berkaitan COVID-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 dari 31 Okt hingga 6 Nov iaitu kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan dua peratus iaitu kepada 516 kes berbanding 505 kes pada minggu epidemiologi sebelumnya.
"Kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan. Kes baru COVID-19 menunjukkan penurunan 13.1 peratus kepada 35,303 kes daripada 40,613 kes (ME ke-43).
“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas,” katanya.
Menurutnya lagi, hingga 6 Nov, terdapat kumulatif 5,719 kluster dilaporkan dan 335 kluster aktif, justeru, ia menunjukkan penurunan 23.5 peratus berbanding ME ke-43.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia hari ini merekodkan 7,348 kes sembuh, melebihi kes baru COVID-19 iaitu 4,543 kes, menjadikan jumlah kumulatif masing-masing 2,419,743 dan 2,510,852 kes.
Beliau berkata 534 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 263 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan, 97.5 peratus atau 4,431 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala 2.5 peratus (112 kes) melibatkan kategori tiga, empat dan lima,” katanya.
Mengenai kelompok baru, beliau berkata enam kelompok dikenal pasti melibatkan tiga kelompok tempat kerja, dua kelompok pendidikan tinggi dan satu kelompok pusat tahanan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pembukaan semula sesi persekolahan supaya mematuhi prosedur operasi standard sepanjang sesi berlangsung agar kewujudan kelompok baru pendidikan dapat dicegah.
“Keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat perlu diberi lebih perhatian dalam mencegah penularan wabak COVID-19 di sekolah.
“Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat agar mereka kekal terhindar daripada bahaya COVID-19. Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin COVID-19 segera divaksin lengkap,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.